English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

this widget by www.AllBlogTools.com

Sunday, July 13, 2008

Meninggalkan Lake Tekapo Menuju Christchurch



31.5.08 [Saturday] jam 8.30am saya naik bas lagi menuju ke destinasi terakhir dalam kembara NZ ini iaitu Christchurch. Perjalanan ni tidak mengambil masa yang lama sangat sebenarnya. Dengan kelajuan yang sederhana bas yang saya naiki melalui beberapa penempatan penduduk seperti Fairlie dan kemudian singgah selama 30 minute bila tiba di Geraldine untuk sarapan pagi dengan meminum latte. Hari ni adalah hari Sabtu, jadi di sebelah pagi di pekan kecil ni ada banyak jualan kraf lelong oleh para peniaga di tepi jalan. Ada bermacam-macam cenderamata yang dijual di sini. Tetapi saya tidak bercadang untuk membeli apa-apa di sini. Cukup sekadar menikmati keindahan dan keunikan kraf-kraf dengan pandangan mata. Kemudian perjalanan kami diteruskan dengan melalui beberapa penempatan lain lagi seperti Ashburto, Rakaia dan melintasi jambatan panjang yang menyeberangi sungai Rakaia. Seterusnya melalui Dunsandel, Rolleston, Templeton, Hornby, Sockburn hingga akhirnya kira-kira jam 12.00pm maka sampailah di Christchurch.



Di sini saya dapat menginap di YHA yang terletak betul-betul di city center bandar Christchurch ni. Lokasi ni sangat memudahkan saya untuk bergerak di dalam bandar dengan berjalan kaki sahaja. Christchurch merupakan bandar yang terbesar di Pulau Selatan ni dan ketiga terbesar di NZ selepas Auckland dan Wellington. Jumlah penduduknya adalah seramai kira-kira 1.3 juta orang dan terkenal sebagai 'A busy, diverse garden city'. Christchurch juga diberi jolokan sebagai 'English City' ekoran terdapat banyak taman dan bangunan yang menyerupai kota London. Bahkan di sini juga terdapat Avon River yang menjadi nadi kota ini. Bahkan, kota ini dikatakan dibina sebagai sebuah replika bagi kota London. Saya pun tak sabar-sabar rasanya ingin menikmati keindahan kota ini dan selepas menyimpan barang saya terus keluar ke tengah kota. Perkara pertama yang saya lakukan adalah membuat tempahan tiket untuk ke Kaikura pada esok hari bagi aktiviti 'whale watching' dan membeli tiket keretapi 'Trans Alpine' yang aktivitinya akan dilakukan pada hari Isnin. Bila dah selesai semua tempahan untuk aktiviti selama tiga hari berada di Chirstchurch tu, saya terus menuju ke sebuah restoran India [Tulsi Restaurant] yang terletak di sebelah YH je dan menyediakan makanan halal untuk lunch. Christchurch ni bandar besar, jadi tiada masalah sangat untuk mendapatkan makanan halal. Lepas lunch tu saya jalan-jalan di sepanjang Wochester Boulevard yang dijadikan 'pasar Sabtu dan Ahad' pada kedua-dua hari tersebut. Bermacam barangan dijual di sini yang bermula dari Cathedral Square mengunjur hingga ke 'Christchurch Botanic Garden'. Saya singgah di Art Gallery untuk menyaksikan pelbagai aktiviti 'performance' di sini daripada yang tradisional hinggalah ke eksperimental kontemporari. Kemudian saya masuk ke Cantebury Museum yang menyimpan pelbagai maklumat mengenai khazanah warisan New Zealand. Keluar dari Muzium tu saya lepak-lepak kejap kat depan main entrance Christchurch Cotanic Gardens yang terletak di sebelah muzium tu je. Sambil tu terjumpa dengan Han [backpacker dari Korea] dan temannya Nana [backpacker dari Jepun]. Diaorang berdua ni datang belajar Bahasa Inggeris di Auckland. Jadi sekarang mereka sedang bercuti dan ambil kesempatan itu untuk melawat negeri-negeri lain di NZ ni. Kami berbual-bual seketika dan kemudian berpisah dan saya bergerak menuju ke Tulsi Restaurant untuk mendapatkan makan malam sebelum kembali ke Hostel.

No comments: