English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

this widget by www.AllBlogTools.com

Friday, October 22, 2010

ISU-ISU DALAM SENI KONTEMPORARI MALAYSIA



Editor: Mohd Kipli Bin Abdul Rahman

Seiring dengan era globalisasi, kesenian Malaysia kontemporari juga turut diwarnai dengan kepelbagaian isu dalam usaha menegaskan signifikasinya dengan konteks semasa demi kelestarian kewujudannya. Lima medium seni kontemporari Malaysia yang mewakili seni cetak grafik, seni seramik, seni teater, seni muzik dan seni media baru yang dihadapkan dalam buku ini membincangkan rencam isu yang berkaitan dengan ruang pengkaryaan, teknik baru pengkaryaan, stail pengkaryaan semasa serta hubungan karya seni dan pendidikan. Kelima-lima medium seni tersebut melihat aspek yang penting dalam membantu peningkatan mutu pendidikan adalah dengan megaplikasikan elemen kesenian dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Isu berkaitan seni cetak yang seolah-olah dipinggirkan dalam persada kesenian di Malaysia berbanding kesenian yang lain disentuh oleh A. Rahman Bin Mohamed. Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan agar ruang studio cetak terbuka diperkenalkan. Tujuannya adalah untuk mendedahkan serta menarik lebih ramai khalayak mendekati medium seni cetak di Malaysia. Peralatan untuk pengkaryaan seni cetak perlu dipertingkatkan seperti halnya yang terdapat di luar negara. Promosi mengeni medium seni cetak juga perlu dilakukan secara lebih intensif dengan turut melibatkan bukan sahaja institusi kerajaan tetapi juga swasta. Shamsu Mohamad meneroka kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui pengalaman, observasi serta eksperimentasi bersama dengan alam dalam usaha untuk menghasilkan karya seni seramik. Kaedah pembelajaran seperti ini dilihat berupaya untuk melahirkan insan mahupun artis yang sentiasa peka terhadap alam melalui bukan sahaja fizikalnya bahkan juga secara rohaniah. Mohd Kipli Abdul Rahman mengemukakan isu seni ’performance’ yang masih belum mendapat tempat yang sewajarnya dalam pengajaran dan pembelajaran seni teater di Malaysia. Sifat seni performance yang sangat terbuka dan sepontan dilihat berupaya untuk memprovokasi minda pengamal dan khalayk dalam mengemukakan sesuatu isu. Melalui karya performance yang dihasilkan, isu mengenai ’budaya plastik’ yang semakin menjadi suatu fenomena dalam masyarakat era globalisasi turut diketengahkan. Seni media baru yang merupakan bentuk kesenian yang muncul seiring dengan era pasca moden, diaplikasikan oleh Shanti Balraj sebagai kaedah alternatif pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pendedahan terhadap kaedah ini dianggap wajar dalam mengeksploitasi idea dan pemikiran pelajar masa kini yang kritikal dan kreatif ekoran pendedahan terhadap kepelbagaian bentuk media baru yang melingkari kehidupan mereka. Kaedah pembelajaran sebegini juga menyediakan ruang untuk perkembangan idea dan minda pelajar. Harapan yang digalaskan kepada generasi muda ini adalah supaya mereka dapat memajukan bidang media visual pada waktu yang mendatang. Melalui puisi ’Revolusi Pendidikan Nan Suci’, Razif Mohd melontarkan gagasan mengenai kepentingan isu pendidkan multidisiplin dalam pengajaran dan pembelajaran. Keseimbangan di antara pendidikan sains dan seni dianggap sangat penting dalam mengimbangi keperluan rohaniah dan jasmaniah insan. Dari sisi lain, pembelajaran multidisiplin turut merupakan isu kontemporari dalam bidang penghasilan karya seni muzik di Malaysia.

No comments: