English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

this widget by www.AllBlogTools.com

Tuesday, June 29, 2010

Medoza, Argentina



25.5.10 (Selasa)
Jam 5 pagi saya sudah terjaga daripada 'tidur-tidur ayam' sepanjang perjalanan dari Buenos Aires ke Mendoza ni. Jam 7.00 pagi penumpang dihidangkan dengan sarapan pagi dan terasa lega bila kopi panas masuk ke dalam perut terutamanya waktu-waktu dingin begini. Jam 9.30 pagi bas pun tiba di stesen Mendoza setelah melakukan perjalanan selama 14 jam. setibanya sahaja di dalam terminal bas saya terus menempah tiket bas dari syarikat CATA untuk ke Santiago, Chile esok pagi jam 10.30am dengan kadar tambang sebanyak 90 Peso.

San Martin Park

Setelah membuat tempahan itu, saya terus bergerak ke hostel Lagares yang telah ditempah lebih awal dengan berjalan kaki sahaja kerana lokasinya tidak begitu jauh dari stesen bas yang mengambil masa kira-kira 10 minit. Setelah mendaftar masuk, saya berehat seketika untuk menghilangkan lelah serta mendapatkan sedikit tenaga. Selepas solat, saya keluar berjalan-jalan ke 'town square' untuk menikmati persekitaran.

San Martin Park


Mendoza terletak di sebelah Barat Argentina dan bersempadan dengan Santiago, Chile yang terletak di sebelah pantai Barat benua Latin ni. Ia dikenali sebagai 'Oasis City' dan kotanya dikelilingi oleh banyak pepohonan. Mendoza terletak di kawasan lembah dan pergunungan Andes yang mengelilinginya menjadi latarbelakang lanskap kota ini. Dataran utama di sini ialah Plaza Independencia di mana terdapat banyak gerai-gerai cenderahati. Selain daripada itu, San Martin Park juga sangat terkenal kerana pelbagai acara pesta diraikan di sini.

Daging Panggang Di Gerai Jualan San Martin Park

Kebetulan sewaktu saya tiba di sini terdapat acara yang sedang berlangsung maka ramai orang berkumpul di San Martin Park sambil menyaksikan persembahan yang berlangsung di pentas yang terletak di tengah-tengah 'town square'. Berhadapan pentas terdapat banyak gerai makanan dan cenderahati dan orang ramai mengambil kesempatan in untuk duduk makan bersama keluarga di gerai-gerai yang disediakan itu.

San Martin Park

Saya pun rasa lapar gak sebab sejak sarapan pagi di dalam bas pagi tadi, saya pun belum menjamah makanan apa pun lagi. Malangnya, saya masih gagal menemui gerai makanan yang menjual makanan yang halal dimakan kerana gerai-gerai makanan di sini tidak ada yang menjual ikan mahupun sayur. Saya meneruskan bersiar-siar di sekitar pekan Mendoza ni sehingga akhirnya menemui sebuah kedai makanan segera yang menjual menu makanan yang berasaskan ikan dan sayuran. Tanpa membuang masa saya terus memesan falafel yang berasaskan sayuran dan salad lalu menikmatinya sambil duduk santai di meja kedai yang terletak di kaki lima jalan.

Falafel sayuran dan Salad untuk makan tengahari merangkap makan malam

Selesai makan saya teruskan bersiar-siar sekitar kota Mendoza walaupun banyak kedai yang tutup. Mungkin hari ni cuti umumnya agaknya di sini....dah penat tu saya bergerak pulang sehinggalah waktu Magrib baharulah saya tiba di hostel. Selepas membersihkan diri dan solat saya pun tidur untuk merehatkan diri sebelum meneruskan kembara keesokan harinya....

Friday, June 25, 2010

BUENOS AIRES ke MENDOZA, ARGENTINA

Argentina

24.5.10 (Isnin)
Bagun pagi ni di Bumi Buenos Aires masih lagi gerimis yang berlanjutan sejak semalam. Semalam tidur jam 6 petang selepas solat dan kerana agak letih sebab tidak cukup tidur maka saya terjaga jam 6 pagi. Penginapan di hostel ni turut menyediakan sarapan pagi, jadi mudah la sebab tak perlu cari makan pagi tempat lain dan jimat la sikit bajet. Walaupun simple tetapi sarapan yang disediakan agak berkhasiat yang terdiri daripada roti,buah-buahan, kopi, teh, susu dan jus. Cuaca sejuk dan gerimis macam ni memang menambahkan selera makan. Perut pulak memang la sangat lapar kerana tidak menjamah makanan sejak hidangan terakhir yang disediakan oleh pesawat MAS kira-kira 20 jam yang lalu. Mana taknya, turun pesawat terus ambik teksi dan daftar masuk hostel dan terus tidur. Sarapan mula disediakan pada jam 8 pagi. Selepas sarapan, kira-kira jam 10 pagi saya kemaskan beg sebab daftar keluar pada jam 11 pagi. Selepas meninggalkan beg di dalam bilik simpanan yang disediakan oleh pihak hostel, saya berjalan kaki menuju ke stesen metro (di Argentina dikenali sebagai 'Subte')San Juan yang terletak tidak jauh dari hostel penginapan.

Stesen Subte San Juan, Buenos Aires

Tambang Subte ni adalah 1.10 Peso sehala ke mana-mana sahaja destinasi selagi kita tidak keluar dari dalam stesen selepas membeli tiket. Destinasi saya adalah ke stesen Retiro kerana di sinilah terletaknya stesen bas utama Buenos Aires. Saya membeli tiket bas untuk ke Mendoza dan setelah membuat pilihan saya akhirnya memilih syarikat bas Andesmar dengan kadar tambang 120 Peso dari Buenos Aires ke Mendoza. Waktu perjalanan adalah pada jam 7.30 malam nanti.

Retiro, Buenos Aires

Setelah mendapatkan tiket, saya kembali semula ke stesen Subte Retiro untuk pulang ke Gardenhouse hostel yang terletak di San Juan dengan kadar tambang yang sama juga iaitu 1.10 Peso. Sampai di hostel saya berehat seketika sehingga selepas solat Asar. Saya mengambil semul beg yang disimpan tadi dan terus bergerak menuju ke stesen bas untuk meneruskan perjalanan dalam siri kembara di Amerika selatan ini.

Stesen Bas Retiro, Buenos Aires

Tepat jam 7.30 malam saya menaiki perut bas Andesmar yang menyediakan perkhidmatan layanan penumpang termasuk makan malam dan sarapan pagi. Perjalanan menaiki bas menuju ke Mendoza dari Buenos Aires mengambil masa selama kira-kira 14 jam. Selepas hidangan malam disediakan sayapun cuba untuk melelapkan mata sambil menonton video yang ditayangkan di skrin TV. Pun begitu, dalam tempoh 14 jam itu, saya hanya dapat terlelap seketika sahaja kerana masalah saya adalah, sukar untuk tidur dalam kenderaan.....