English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

this widget by www.AllBlogTools.com

Sunday, November 16, 2008

KEMBARA SUCI: HAJI MABRUR YANG KUIMPI

"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang ingkar, sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatupun daripada sekelian makhluk." (Surah Ali Imran: Ayat 97)



17.11.08, saya berkesempatan menghadiri bicara perjalanan haji oleh Prof. Muhd Kamil Ibrahim yang menceritakan kisah dan pengalamannya menunaikan fardhu haji beberapa tahun yang lalu. Seminggu sebelum ini saya pernah menonton beliau dalam satu program keagamaan di salah sebuah saluran TV dan saya amat tertarik dengan pengalaman beliau. Tak sangka pulak beliau akan datang ke USM untuk menceritakan hal yang sama kepada khalayak di sini. Jadi, saya tidak melepaskan peluang untuk mendengarnya secara langsung sekali lagi. Pengalaman yang penuh dengan emosi keagamaan itu dikongsi bersama dengan khalayak yang hadir dan turut diterjemahkan ke dalam bentuk buku yang bertajuk 'Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman'. Saya membeli senaskah buku itu untuk cenderahati bagi diri sendiri dan moga turut bermanfaat ketika melakukan kembara suci pada bulan Disember 2008 nanti. Kepada yang mengenali saya ataupun mengikuti blog ini, saya memohon ampun dan maaf sekiranya ada salah dan silap serta mohon halalkan segala yang terhutang. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang daripada diri saya sendiri, yang daif lagi jahil.

Dan serukanlah kepada umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh.(27) Supaya mereka menyaksikn berbagai-bagai perkara yang mendatangkan berbagai-bagai faedah kepada mereka, serta memperingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan qurban) dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang qurban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.(28) Kemudian hendaklah mereka membersihkan diri mereka, dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.(29) (Surah Al-Hajj: Ayat 27 - 29)

Saturday, November 15, 2008

Gelanggang Tok Wali

14 Nov. 2008 Jam 8.45 malam, saya berkesempatan menonton persembahan teater 'Gelanggang tok Wali' oleh kumpulan 'Resdong' di Rumah P.Ramli, Pulau Pinang. Dah lama tak berkesempatan menonton teater di Rumah P.Ramli ni walau pun ada beberapa lagi persembahan yang berlangsung di sini sebelum ni. Tapi kebetulan tarikh persembahan teater sebelumnya itu bertembung dengan jadual lain yang tidak mengizinkan saya berada di P. Pinang. Pejabat Kebudayaan Pulau pinang (Rumah P. Ramli)ni agak prolifik juga dalam mengangkat produksi teater ke pentas atas kerjasama yang erat dengan kumpulan teater NGO di P.Pinang ni. Kebetulan tarikh persembahan Gelanggang Tok Wali ni sesuai dengan jadual keberadaan saya di P. Pinang. Maka saya tidak melepaskan peluang untuk menontonnya.... yang menarik perhatian saya dalam Gelangang Tok Wali ini adalah persembahan silat yang saya tidak pasti namanya kerana saya tidak arif mengenai kepelbagaian jenis silat. Jadi saya katakan sahaja sebagai silat Melayu. Koreografinya dan tahap tenaga pemainnya sangat baik dan menarik serta berupaya menyentuh emosi saya ketika menontonnya. Walaupun secara keseluruhannya persembahan ini masih ada ruang untuk pembaikan, tetapi secara positifnya, usaha yang dilakukan oleh kumpuln Resdong merealisasikan persembahan ini sudah cukup untuk dihargai. Terutamanya apabila berusaha mengangkat seni silat Melayu ke pentas dalam usaha untuk mencari ruang signifikasinya dalam konteks masyarakat Malaysia kontemporari. TAHNIAH untuk semua yang berusaha dan terlibat dalam menjayakan produksi ni dan juga produksi-produksi yang lain oleh kumpulan-kumpulan yang lain di Pulau Pinang ini.

Sunday, November 9, 2008

'Raja Besar Senyanya'



Pada awalnya saya tertanya-tanya juga macamana agaknya cerita Mak Yong yang satu ini sebab belum pernah dengar lagi tajuk cerita ni. Tetapi setelah selesai menonton persembahannya yang dibawakan oleh 'kumpulan Mak Yong Seri Nilam Istana Budaya', baru lah saya faham rupanya cerita 'Anak Raja Gondang'.... Sebelum ni saya tahu tajuk ceritanya adalah 'Anak Raja Gondang'. Pada malam 8.11.08 persembahan yang dibawakan oleh Pak Yong lelaki ini (Rosnan Abdul Rahman) memang agak menarik. Kesemua pemainnya adalah penari dan pemuzik profesional dari Istana Budaya. Jadi, secara teknikalnya, keseluruhan persembahannya nampak profesional. Walaupun mereka mengakui bahawa baru sahaja berjinak-jinak dalam permainan Mak Yong ini. Bagi tujuan pelestarian kesenian yang dianugerahkan oleh Unesco sebagai warisan dunia ini, usaha yang dilakukan oleh Kumpulan Seri Nilam I.B ini adalah wajar. Kerjasama dengan pihak institusi pengajian tinggi serta institusi berkenaan yang lain perlu dilakukan oleh kumpulan ini dengan lebih giat lagi bagi memastikan kelangsungan seni warisan ini.

BICARA SENI "Mak Yong Di abad 21"



Pada 8 Nov. 2008 bermula jam 10,00 pagi, Pusat Pengajian Seni USM dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia serta Istana Budaya telah mengadakan suatu program Bicara Seni membincangkan mengenai pelestarian Mak Yong dalam adab ke-21 ini. Panel pembicara terdiri daripada Dato' Prof. Dr. Mohammed Ghouse Nasuruddin, En. Rosnan Abdul Rahman. Pn. Fatimah Abdullah (Kak Asmah), En. Che Mat Jusoh dan Pn. Jumilah Tahir dan dimodeasikan oleh Dr. A.S Hardy Shafii. Bicara Seni ini diadakan bersempena dengan persembahan Mak Yong yang dilangsungkan Oleh Kumpulan Mak Yong 'Seri Nilam Istana Budaya' pada sebelah malamnya bertarikh 8 & 9 Nov. 08 di Dewan Budaya USM. Perihal bicara menyangkut kewujudan Mak Yong dalam abad 21 ini dan signifikasinya dalam konteks masyarakat Malaysia kontemporari.