11.11.10 (Khamis)
Pagi ni jam 6.00 pagi dalam cuaca yang sejuk sambil diiringi hujan gerimis itu, saya dan Dr. Mijie keluar dari hotel menuju ke stesen metro dengan membeli tiket berkumpulan untuk satu hari (9.30 Euro – boleh dikongsi dengan seramai 5 orang) yang jauh lebih murah berbanding tiket solo (6.80 Euro).
Bahkan jauh lebih murah berbanding tiket sehala yang berharga 3.80 Euro seorang. Dari stesen Messe kami berhenti untuk turun di Central Station dan dari situ kami mengambil metro lain yang menuju ke stesen Bokhenheimer Warte di mana terletaknya lokasi kampus cawangan Goethe-Frankfurt University.
Tetapi untuk hari pertama ni seminar tersebut tidak diadakan di sini. Esok baru berpindah ke sini sebab hari ni seminar diadakan di kampus Westend. Jadi dari sini kami menaiki bas dengan menggunakan tiket yang sama menuju ke kampus Westend yang turut disertai oleh pembentang kertaskerja yang lain dari beberapa universiti lain di Malaysia, Singapura, Indonesia serta Brunei Darusalam.
Perkenalan di dalam bas bersama wakil pembentang dari pelbagai universiti itu mengeratkan lagi kemesraan kami dan menambahkan lagi jaringan kerja yang sangat bermanfaat. Jam 8.45 pagi kami semua pun tiba di kampus Westend yang cantik itu dalam suasana penghujung musim luruh yang indah. Ini menambahkan lagi semangat saya untuk berseminar di hari pertama ini.
Setelah mendaftar, kami dialu-alukan untuk terus menikmati sarapan yang telah sedia terhidang sambil menantikan pembukaan seminar dimulakan. Prof. Dr. Arndt Graf sebagai pengerusi seminar memulakan ucapan aluan-aluan dan amat berbesar hati dengan penyertaan yang sangat memberangsangkan yang melibatkan peserta dan pembentang dari pelbagai universiti yang bukan sahaja dari Asia Tenggara bahkan termasuk juga Perancis, Afrika Selatan serta negara Jerman sendiri. Pembentangan kertas kerja saya berlangsung hari ini pada sebelah tengahari iaitu selepas makan tengahari dalam sessi selari. Seminar hari ini berlangsung sehingga jam 5.00 petang dan kami semua bersurai untuk pulang ke hotel masing-masing.
No comments:
Post a Comment