English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

this widget by www.AllBlogTools.com
Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Tuesday, December 3, 2013

SANJUNGAN KARYA: MAJLIS PELANCARAN BUKU PENERBIT USM

3 Dis. 2013

Petang semalam saya menerima sebuah bungkusan yang diposkan dari Universiti Sains Malaysia dan isinya adalah tiga buah buku beserta sijil penghargaan sebagai Editor bagi kecetakan buku tersebut tahun 2013. Majlis pelancaran buku tersebut telah dilangsungkan pada 4 November 2013 yang lalu di USM namun saya tidak dapat menghadirinya atas urusan tugas yang tidak memungkinkan saya untuk hadir. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak Penerbit USK khasnya dan Kumpulan Kearifan Tempatan USM amnya atas ingatan tersebut terutamanya kepada Pengarah Penerbit USM, iaitu Tuan Haji Akhiar Salleh.

VOLUME 1
VOLUME 2
VOLUME 3

 
 Terima kasih juga untuk 3 salinan sijil berfoto Sanjungan Karya tersebut untuk ketiga-tiga volume buku yang diterbitkan pada tahun 2013. Semoga kita dapat berkolaborasi dalam penerbitan yang akan dating..... terima kasihhh.....
 

Sunday, October 27, 2013

PELANCARAN BUKU-BUKU TERBAHARU



 
Dua buku suntingan terbaharu berjudul 'Merekayasa Kearifan Tempatan: Citra Seni dalam Teknologi' oleh Mohd Kipli Abdul Rahman, Tarmiji Masron & Mardiana Idayu dan 'Merekayasa Kearifan Tempatan: Alam dan Manusia' oleh Mashhor Mansor & Mohd Kipli Abdul Rahman, telah pun dilancarkan pada 6 Okt. 2013 yang lalu bersempena dengan "Persidangan Serantau Kearifan Tempatan ke-3" bertempat di Surta Beach Resort, Terengganu. Seperti juga halnya dengan tiga buku terdahulu, kedua-dua buah buku terbaharu ini memerihalkan kearifan tepatan dengan menumpu kepada rekaya yang diberlaku dan dialami oleh ilmu kearifan tempatan seiring dengan perjalanan masa serta untuk memenuhi keperluan konteks terkini.  Diterbitkan oleh Penerbit USM, buku ini sedang berada dalam pasaran dan boleh didapati dengan menghubungi sekreteriat kearifantempatan@yahoo.com. 
 

Sunday, November 11, 2012

PELANCARAN BUKU KEARIFAN TEMPATAN 2012


PULAU PINANG, 15 Okt. 2012 – Walaupun baru mencecah usia dua tahun, rangkaian ilmu Kearifan Tempatan yang dipelopor Universiti Sains Malaysia (USM) kini bersedia untuk melebarkan sayap penerokaan khazanah ilmu di peringkat Asean.

Kearifan tempaah adalah satu cabang ilmu yang disimpulkan daripada pengalaman sebenar yang dialami dalam waktu yang sangat panjang. Ilmu ini berakarkan kepada budaya tempatan dan umumnya diterapkan ke dalam amalan masyarakat.

Naib Canselornya, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, usaha ke arah mengukuhkan peranan institusi pengajian tinggi dalam mengangkat martabat ilmu-ilmu yang menjadi warisan bernilai tinggi itu akan mula diperluaskan ke Asean mulai tahun depan.

Katanya, USM akan menggunapakai strategi khusus dalam membentuk rangkaian tersebut, termasuk menjalin hubungan secara langsung dengan rakan akademik dari luar negara untuk membangunkan ilmu kearifan tempatan.

``Beberapa pensyarah USM kini sudah memulakan inisiatif mencari rakan pintar dari luar negara termasuk di Indonesia dan Thailand, yang turut diakui mempunyai khazanah ilmu yang tinggi dan boleh diangkat serta dipelihara nilainya,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Serantau Kearifan Tempatan (PSKT) di Jerejak Rainforest Resort, di sini hari ini.

Tambah beliau, rangkaian di peringkat serantau itu akan berfungsi secara sistematik melalui kerangka yang membolehkan universiti yang terlibat di luar negara diangkat sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan Ilmu Kearifan Tempatan.

``Pusat kecemerlangan itu pula akan dikawal selia oleh Sekretariat Kearifan Tempatan USM. Dengan cara ini kita dapat melebarkan pengaruh ilmu Kearifan Tempatan dengan efektif tanpa menelan kos yang tinggi’’ ujar beliau.

Beliau turut berkata, PSKT yang pada mulanya hanya satu usaha kecil yang dicetuskan oleh akademia USM kini sudah mengorak langkah dengan cemerlang, selain turut mendapat perhatian kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM).

Omar berkata, sehingga kini juga pihak secretariat telah berjaya menerbitakan lima buah buku melalui pengajuran persidangan pertama yang diadakan di Pulau Langkawi tahun lalui.

Katanya, buku-buku itu termasuk Meneliti Khazanah Sastera, Bahasa dan Ilmu, Meneliti Kosmologi dan Adat Istiadat, Berasal dari Akar, The Relevance of Science to Local Knowledge dan Retracing Tradition for a Sustainable Future: The Malaysian Experience.

``Ini turut membuktikan bahawa pensyarah-pensyarah kita mampu menjalankan tugas mereka di luar jangkaan sekiranya diberi motivasi yang sesuai di bawah satu kerangka yang jelas dan sistematik ,’’ ujarnya.

Tambah beliau USM dalam agendanya membangunkan APEX (Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan) turut mengangkat ilmu Kearifan Tempatan sebagai satu tonggak yang melewati batas penyelidikan dan akademik.

``USM turut memainkan peranan dalam memastikan ilmu Kearifan Tempatan ini dapat menyumbang sesuatu kepada pembangunan masyarakat dengan menggunapakai konsep pemindahan ilmu,’’ katanya.

Dalam pada itu, persidangan dua hari itu menyaksikan pembentangan 107 kertas kerja meliputi pelbagai tajuk-tajuk di bawah kerangka ilmu Kearifan Tempatan.

Dengan tema "Merekayasa Kearifan Tempatan ke Arah Ilmu Baharu", persidangan itu bermatlamat untuk mengenalpasti dan menggalur semula ilmu Kearifan Tempatan, selain menjadi platform untuk menghasilkan penerbitan terkini yang dapat menjulang ilmu itu ke persada lebih tinggi.

 
Artikel ini dipetik dari  berita arkib Universiti Sains Malysia.

Saturday, October 6, 2012

TIGA BUKU TERBAHARU DI PASARAN

6.10.12 (SABTU)

Alhamdulillah.....akhirnya terlaksana jua usaha untuk menerbitkan tiga jilid buku yang memperihalkan Kearifan Tempatan ini....terima kasih kepada Prof. Madya Dr. Rahimah Abd. Hamid dan Dr. Nazaruddin Zainun kerana bersama-sama bertungkus-lumus bagi menzahirkan kewujudan jilid buku ini. Semoga usaha kita ini dapat memberikan sumbangan kepada khalayak untuk lebih mengaprisiasi, menghayati dan menyelami lagi segala ilmu tempatan kita yang semakin terpinggir dan dilupakan.....
Kearifan Tempatan Pengalaman Nusantara: Berasal Dari akar


Kearifan Tempatan Pengalaman Nusantara: Meneliti Kosmologi dan Adat Istiadat

 
.
 Kearifan Tempatan Pengalaman Nusantara: Meneliti Khazanah Sastera, Bahasa dan Ilmu

Namun, usaha ini tidak terhenti setakat ini sahaja, kepada sahabat berdua, bersedialah untuk penerbitan seterusnya dengan tiga lagi buah tangan baharu yang perlu diusahakan..... Selamat Menulis dan Menyunting....

Sunday, October 23, 2011

SINKRITISME DALAM WAYANG WONG JOHOR



Alhamdulillah.... setelah sekian lama menanti, akhirnya penerbitan buku ini terlaksana jua dan bersedia menemui khalayak pembaca bermula pada 19 Oktober 2011. Bagi para pencinta teater tradisional Malaysia, buku ini menyuguhkan sesuatu yang anda mungkin cari. Usaha penerbitan buku ini merupakan ikhtiar dalam melestaraikan seni persembahan tradisional dalam bentuk dokumentasi bertulis. Diharap ia dapat meningkatkan apresiasi khalayak untuk terus menyintai seni persembahan tradisional. Moga buku ini memberikan manfaat kepada semua...

SINOPSIS

Umumnya, teater tradisional di Malaysia dipengaruhi oleh kepercayaan Islam, animisme dan Hindu-Buddha. Percampuran ketiga-tiga pengaruh kepercayaan keagamaan ini memunculkan konsep sinkristisme. Wayang wong yang berasal dari Jawa, Indonesia merupakan salah satu bentuk teater tradisional yang terdapat di negeri Johor, Malaysia yang mengandungi konsep sinkristisme. Konsep ini terkandung dalam aspek kepercayaan yang membentuk kosmologi persembahan wayang wong seperti mitos, mistik, magis dan ritual. Aspek kepercayaan tersebut terkandung dalam cerita wayang wong yang berasaskan epik Mahabhrata dan Ramayana. Selain daripada cerita, aspek kepercayaan terdapat juga dalam struktur persembahan, watak, pelakon, peralatan muzik, kostum, props, dan panggung persembahan wayang wong. Sinkristisme kepercayaan dalam wayang wong pada asalnya dipengaruhi oleh keagamaan Hindu dan animisme. Namun, apabila kesultanan Jawa menerima kemasukan agama Islam maka pengaruh Islam mula diserapkan. Walaupun telah melalui sejarahnya yang panjang, wayang wong yang wujud di negeri Johor kini masih lagi dipengaruhi oleh fahaman Hindu-Buddha dan animisme. Sungguhpun begitu, keagamaan Islam lebih dominan mempengaruhi sinkristisme kepercayaan yang terkandung di dalamnya
.

Oleh:
Mohd Kipli Bin Abdul Rahman

Friday, October 22, 2010

ISU-ISU DALAM SENI KONTEMPORARI MALAYSIA



Editor: Mohd Kipli Bin Abdul Rahman

Seiring dengan era globalisasi, kesenian Malaysia kontemporari juga turut diwarnai dengan kepelbagaian isu dalam usaha menegaskan signifikasinya dengan konteks semasa demi kelestarian kewujudannya. Lima medium seni kontemporari Malaysia yang mewakili seni cetak grafik, seni seramik, seni teater, seni muzik dan seni media baru yang dihadapkan dalam buku ini membincangkan rencam isu yang berkaitan dengan ruang pengkaryaan, teknik baru pengkaryaan, stail pengkaryaan semasa serta hubungan karya seni dan pendidikan. Kelima-lima medium seni tersebut melihat aspek yang penting dalam membantu peningkatan mutu pendidikan adalah dengan megaplikasikan elemen kesenian dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Isu berkaitan seni cetak yang seolah-olah dipinggirkan dalam persada kesenian di Malaysia berbanding kesenian yang lain disentuh oleh A. Rahman Bin Mohamed. Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan agar ruang studio cetak terbuka diperkenalkan. Tujuannya adalah untuk mendedahkan serta menarik lebih ramai khalayak mendekati medium seni cetak di Malaysia. Peralatan untuk pengkaryaan seni cetak perlu dipertingkatkan seperti halnya yang terdapat di luar negara. Promosi mengeni medium seni cetak juga perlu dilakukan secara lebih intensif dengan turut melibatkan bukan sahaja institusi kerajaan tetapi juga swasta. Shamsu Mohamad meneroka kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui pengalaman, observasi serta eksperimentasi bersama dengan alam dalam usaha untuk menghasilkan karya seni seramik. Kaedah pembelajaran seperti ini dilihat berupaya untuk melahirkan insan mahupun artis yang sentiasa peka terhadap alam melalui bukan sahaja fizikalnya bahkan juga secara rohaniah. Mohd Kipli Abdul Rahman mengemukakan isu seni ’performance’ yang masih belum mendapat tempat yang sewajarnya dalam pengajaran dan pembelajaran seni teater di Malaysia. Sifat seni performance yang sangat terbuka dan sepontan dilihat berupaya untuk memprovokasi minda pengamal dan khalayk dalam mengemukakan sesuatu isu. Melalui karya performance yang dihasilkan, isu mengenai ’budaya plastik’ yang semakin menjadi suatu fenomena dalam masyarakat era globalisasi turut diketengahkan. Seni media baru yang merupakan bentuk kesenian yang muncul seiring dengan era pasca moden, diaplikasikan oleh Shanti Balraj sebagai kaedah alternatif pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pendedahan terhadap kaedah ini dianggap wajar dalam mengeksploitasi idea dan pemikiran pelajar masa kini yang kritikal dan kreatif ekoran pendedahan terhadap kepelbagaian bentuk media baru yang melingkari kehidupan mereka. Kaedah pembelajaran sebegini juga menyediakan ruang untuk perkembangan idea dan minda pelajar. Harapan yang digalaskan kepada generasi muda ini adalah supaya mereka dapat memajukan bidang media visual pada waktu yang mendatang. Melalui puisi ’Revolusi Pendidikan Nan Suci’, Razif Mohd melontarkan gagasan mengenai kepentingan isu pendidkan multidisiplin dalam pengajaran dan pembelajaran. Keseimbangan di antara pendidikan sains dan seni dianggap sangat penting dalam mengimbangi keperluan rohaniah dan jasmaniah insan. Dari sisi lain, pembelajaran multidisiplin turut merupakan isu kontemporari dalam bidang penghasilan karya seni muzik di Malaysia.

Tuesday, October 5, 2010

'Mabuk Mistikal" ke 'FRANKFURT BOOK FAIR 2010'



Oleh: Mohd Kipli Bin Abdul Rahman

Buku ini akan menemui khalayak benua Eropah apabila dipilih oleh Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) untuk dipamer dan dikatalogkan dalam 'Pesta Buku Frankfurt 2010' yang akan berlangsung pada 6 hingga 10 Oktober 2010.

Tuesday, March 24, 2009

MABUK MISTIKAL: SEMIOTIK METAFIZIK DALAM "KUDA KEPANG MABUK" (KKM)



Oleh: Mohd Kipli Bin Abdul Rahman

Penghasilan kajian ini bertolak daripada isu dan permasalahan yang menjadi tanda tanya bahawa benarkah wujud perkaitan di antara semiologi dan kajian bidang metafizik? Fenomena ini tidak terdapat dalam kajian ahli semiotik Barat terutamanya dalam kajian-kajian mereka terhadap 'performance theatre' yang tidak melibatkan unsur supernatural. Terdapat suatu andaian yang diungkapkan oleh Roland Barthes, dengan mempergunakan ataupun mengubah-suaikan kaedah Ferdinand de Saussure, bahawa proses penentuan makna dan signifikasi sudah memadai berdasarkan penelitian terhadap “hubungan yang bersifat 'triadic' (tiga hala)”, ataupun 'the associative total' dalam hubungan antara penanda, petanda dan makna. Dengan andaian tersebut, beliau menganggap bahawa pencarian makna bagi sesuatu tanda tidak memerlukan rujukan di luar daripada hubungan tiga hala yang sedia diperhatikan.

Tanggapan ini selaras dengan andaian yang agak terdahulu, yang menganggap bahawa sesebuah teks itu mempunyai autonomi dan wujudnya terpisah daripada penciptanya (pengarah atau bomoh). Tanggapan ini diperkuatkan pula oleh suatu aspek daripada kaedah semiotik yang menganggap khalayak atau pembaca, dalam situasi kekiniannya berhadapan dengan teks, mempunyai segala autoriti dan hak untuk menentukan makna bagi segala tanda yang ditonton atau dibacanya. Justeru, andaian-andaian yang disebutkan di atas dengan sendirinya (a) menafikan rujukan kepada kerangka rujukan di luar teks yang sedang dikaji secara kekinian. (b) Secara tidak langsung menafikan juga bahawa penghasilan sesuatu teks itu melibatkan dimensi-dimensi historikal yang terjalin melalui diri dan pengalaman pencipta (pengarah atau bomoh) teks. (c) Maka, secara tidak langsung juga, menolak peri pentingnya multiplicity of meanings (kepelbagaian makna) yang tersimpan dalam collective consciousness (kesedaran kolektif) masyarakat berkenaan.

Namun begitu, dalam Kuda Kepang Mabuk yang akan dirujuk sebagai KKM sahaja dalam huraian berikutnya, rujukan terhadap tanda dilakukan dengan turut meninjau hal-hal yang di luar daripada hubungan tiga hala. Justeru, kajian bidang metafizik memainkan peranan penting dalam membantu kajian semiologi. Terutamanya, untuk memahami dan menafsir makna daripada tanda-tanda yang terdapat dalam kod-kod persembahan yang digunakan. Kod-kod yang digunakan dalam persembahan tersebut adalah berbentuk simbolik. Ia mempunyai falsafah tersendiri yang merujuk kepada fahaman falsafah tradisional. Iaitu kepercayaan terhadap peranan alam ghaib dalam mempengaruhi kehidupan masyarakat pelakunya. Oleh sebab itu, sekiranya kajian semiologi digunakan untuk menganalisis persembahan ini, maka aspek metafizik, kosmologi dan ontologi harus dikaji bagi menafsirkan maknanya secara kognitif.

Seperkara lagi, adakah benar bahawa alam ghaib sangat berperanan dalam mempengaruhi penanggapan 'source' (sumber), 'transmitter' , 'signifier' (penanda), 'audience' (khalayak) dan 'signified' (petanda) dalam KKM? Hal ini timbul kerana, melalui temubual yang dilakukan, informan menjelaskan bahawa perkara-perkara pelik yang berlaku sewaktu persembahan dipengaruhi oleh makhluk ghaib (makhluk halus ). Pandangan yang dikemukakan tersebut bersesuaian dengan fahaman agama dan pandangan dunia orang Jawa yang berpegang kepada prinsip sangkan paraning dumadi iaitu “dari mana manusia berasal, apa dan siapa mereka pada masa kini dan ke mana manusia akan pergi”.

Dalam teori semiotik Barat yang digunakan bagi menganalisis 'performance theater' alam ghaib tersebut tidak wujud. Hal ini kerana, dalam performance theater yang lazim diamalkan di Barat, pengarah (sumber) menciptakan kod melalui imaginasinya. Walau bagaimanapun, dalam hal KKM, sumber (bomoh) tidak menggunakan imaginasinya semata-mata dalam mencipta, menyedia, memilih dan menyusun kod. Sebaliknya kod yang disediakan adalah atas kehendak atau tertakluk kepada alam ghaib. Hal ini dapat dijelaskan seperti berikut; iaitu sekiranya kod (sebagai contoh sajen) yang disediakan tidak menepati kehendak alam ghaib, maka fenomena mabuk (trance) dalam KKM tidak akan berlaku atau dikatakan gagal kerana tidak cukup syarat. Sedangkan elemen mabuk (trance) tersebut merupakan elemen yang sangat penting bagi mencirikan persembahan tersebut ialah KKM. Sehubungan dengan itu, beberapa working definition turut dikemukakan dalam kajian ini iaitu “Semiotik Metafizik”, “Kod Bersyarat”, “Kod Separuh Bersyarat”, “Kod Bebas”, “Kod Komunikasi Mistikal”, “Kod Istiadat” dan “Kod Kebatinan”, yang penjelasannya dihuraikan dalam bab-bab berikutnya. Jadi, objektif kajian ini ialah, pertamanya, untuk mengkaji makna persembahan KKM dengan menggunakan teori semiotik. Kedua, meninjau peranan alam ghaib dalam mempengerahui fenomena trance dalam persembahan KKM. Ketiga, untuk melihat bagaimana kod teatrikal persembahan sebagai medium komunikasi berperanan dalam perhubungan di antara alam fizikal dan alam metafizik.

Usaha yang dilakukan ini adalah untuk mencari makna persembahan KKM yang turut berhubungan dengan fenomena mabuk (trance). Sehubungan dengan itu, fokus turut dilakukan terhadap elemen alam ghaib (metafizik) yang mempengaruhi sumber, transmitter, penanda, khalayak dan petanda dalam persembahan KKM. Kajian ini melihat agama dan elemen kesucian yang mempercayai kewujudan alam ghaib dari perspektif yang universal. Rujukan tidak dihadkan kepada satu kepercayaan agama sahaja sebaliknya adalah pelbagai. Hal ini kerana, dalam analisis kajian kepelbagaian pengaruh kepercayaan daripada fahaman keagamaan yang berbeza turut ditinjau kerana fenomena tersebut turut mempengaruhi kewujudan bentuk persembahan KKM.

Selain daripada itu, tulisan ini juga turut melihat hubungan komunikasi di antara alam metafizik dengan alam fizikal melalui transmitter , penanda dan petanda yang terdapat dalam persembahan KKM. Theatre Sign System (Sistem Tanda Teater) dan Theatre Communication System (Sistem Komunikasi Teater) akan diaplikasikan sebagai alat penganalisisan kod-kod. Di samping itu, empat tahap makna (petanda) yang akan dikaji mengikut kaedah semiotik iaitu i) 'Cognitive meaning' (kognitif) ii) 'Emotional Meaning' (emosi) iii) 'Esthetic Meaning' (estetik) iv) 'Spiritual awareness meaning' (kesedaran kerohanian). Sementara makna-makna tersebut akan diperolehi melalui kajian terhadap dua jenis khalayak iaitu 'heterogeneous audience' dan 'homogenous audience' .

Kajian ini bertujuan untuk membuktikan bahawa elemen alam ghaib sangat berperanan dalam mempengaruhi penanggapan sumber, transmitter, penanda, khalayak dan petanda (terutamanya makna kognitif). Justeru, hal yang cuba dibuktikan di sini ialah, metafizik merupakan elemen yang tertinggal dalam teori semiotik Barat yang digunakan untuk mengkaji 'performance theatre' yang tidak melibatkan unsur supernatural. Hal ini kerana, mabuk dalam persembahan KKM adalah bersifat mistikal keagamaan. Elemen mabuk (trance) merupakan tanda pencapaian ke arah satu tahap kewujudan – rupa bentuk fizikal – perpindahan spiritual (level of existence – physical configuration – spiritual elevation).

*Buku ini sedang berada dalam pasaran dan boleh didapati di Kedai Koperasi USM dan kedai MPH terpilih di seluruh negara.