English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

this widget by www.AllBlogTools.com

Sunday, October 23, 2011

ZIARAH KE KAMPONG CHAM

'Waterfront', Pnom Pehn waktu senja di gigi Sungai Mekong

23.7.2011 (Sabtu)
Seawal jam 5.00 pagi saya telah bangun untuk menunaikan solat subuh dan kemudiannya terus mengemaskan barang untuk dimasukan ke dalam beg galas belakang sabab nanti dah nak kena daftar keluar dari hotel ni sebab akan berangkat ke Kampong Cham. Usai berkemas saya terus turun ke kaunter apabila jam sudah menunjukkan jam 6.40 pagi. Saya mendaftar keluar dan memaklumkan kepada petugas kaunter agar membukakan stor simpanan barang sebab saya akan meninggalkan barangan saya dalam beg besar di hotel Indochina ni. Hanya beg galas kecil sahaja yang saya bawa dan memuatkan barangan pakaian yang cukup untuk satu malam.

Waterfront, Pnom Pehn, Kemboja

Tidak lama kemudian Sukery dan Sakiroh pun turun ke kaunter ddan turut mendaftar keluar. Saya pun bertanyakan Sukery samada tiket bas sudah dibeli ataupun terus sahaja ke stesen bas Pnom Pehn dan membeli tiket di sana. Namun, Sukery memaklumkan bahawa sepupunya Romli telah membuat keputusan untuk turut menyertai kami pulang ke kampong mereka di Kampong Cham. Tidak lama kemudian, kira-kira jam 7.00 pagi romli pun tiba dan memakir kereta yang dipandunya malam tadi di hadapan lobi hotel. Kami pun masuk ke dalam kereta dan berempatlah kami bali ke kampung hari ni...

Pnom Pehn, Kemboja

Romli pun terus memandu keretanya meninggalkan ibu kota Pnom Pehn menuju ke Kampong Cham. Kira-kira jam 9.00 pagi, kami pun tiba di kawasan rehat Skun dan Romli pun singgah di sebuah restoran makanan Islam yang terletak di tepi jalan tu. Nama kedai mkan tu Restoran Muk Min yang dimiliki oleh Melayui Islam Cham. Menurut Sukery, kedai makan ni seminggu sahaja beroperasi bagi memberi kemudahan kepada komuniti Islam untuk menikmati hidangan ketika singgah di kawasan rehat ni.

Pnom Pehn, Kemboja

Oleh sebab masih belum menjamah makanan lagi sejak dari bangun tidur tadi, saya pun mengambil kesempatan untuk mengalas perut dengan memesan kopi dan bakso sebagai hidangan pagi ni. Rasanya ok lah gak... memang ada citarasa Melayu Malaysia lah...Sewaktu makan tu, ada la bertemu dengan beberapa rakan Sukery yang boleh berbahasa melayu dan kami pun berbual-bual sambil menikmati sarapan pagi itu... Bila dah selesai makan tu, kami pun masuk ke kereta semuala untuk meneruskan perjalanan menuju ke destinasi yang bakal dituju....

Perjalanan menuju Kampong Champ

Tidak lama kemudian, kira-kira jam 10.30 pagi kami pun tiba di pekan Kampong Cham
yang merupakan ibu negeri bagi daerah kampong Cham. Pekan ni kecil sahaja dan memang sangat sederhana kehidupan masyarakatnya. Ia terletak di bahagian sebelah Timur Kemboja dan merupakan kota yang ketiga terbesar di Kemboja ni. Anggaran penduduk di sini berjumlah kira-kira 63,771 orang sekitar tahun 2006 yang lalu. Lokasinya plak terletak di persisiran Sungai Mekong yang terkenal itu. Jarak Kampong Cham ni dari Pnom Pehn hanyalah kira-kira 124 kilometer sahaja dan boleh didatangi samada dengan menggunakan kenderaan darat mahupun melalui sungai dengan menaiki bot. Perjalan bagi kedua-dua jenis pengangkutan ini mengambil masa yang hampir sama iaitu kira-kira 2 jam 50 minit dari Pnom Pehn.

Restoran Muk Min di R&R Skun ni menyediakan makanan halal

Bakso dan kopi untuk sarapan pagi di Restoran Muk Min

Setibanya sahaja di pekan Kampong Cham tu, Romli tidak memberhentikan kederaannya, sebaliknya terus sahaja bergerak menuju ke sebuah jeti yang tidak jauh dari pekan itu. Dari jeti tu, kami membeli tiket dan terus menunggu feri tiba untuk membawa kami mnyeberangi Sungai Mekong untuk sampai ke kampung Sukery dan Romli.

Longgokan kayu api yang turut digunakan untuk memasak

Tidak lama kemudian, feri yang dinanti pun tiba dan setelah semua penumpang dari feri itu keluar, kami pun masuk ke dalamnya. Sebelum masuk tu, kami perlu memberi laluan kepada Romli terlebih dahulu untuk memasukkan keretanya ke dalam feri tu gak. Saiz feri tu sederhana besar sahaja tetapi boleh memuatkan sebuah kereta dan beberapa kenderan motosikal yang lain.

Pekan Kampong Champ

Lebih kurang 15 minit kami berada di dalam feri tu, akhirnya tibalah kami di seberang sungai. Setibanya di jeti, kereta romli perlu dikeluarkan dahulu dan kemudian baharulah kami mengikuti keluar dari feri tu. setelah semua penumpang keluar dari feri, kami pun masuk semual ke dalam kereta dan meneruskan perjalanan menuju ke kampung Beng prol yang menempatkan komuniti Muslim Cham. namun begitu, komuniti Khmer Buddha juga turut tinggal bersama dengan jiran-jiran Muslim yang lain. keadaan jalan ke kampun di seberang sungai sebelah sini bukan untuk tujuan kenderan bermotor terutamanya kereta.

Sungai Mekong di Kmpong Champ

Keadaan jalannya tidak bertar dan berlubang-lubang serta lecak selepas ditimpa hujan. Bentuk laluannya bukan merupakan jalan untuk kenderaan berkereta sebenarnya, walaupun kenderaan kereta, bahkan bas mini juga menggunakan jalan itu. Bas mini tu macam van je la yang digunakan untuk mengangkut penduduk kampung dari rumah mereka menuju ke jeti untuk melakukan urusan dan aktiviti harian berulang-alik ke pekan Kampong Cham yang terletak di seberang sungai tu...

Sungai Mekong di Kmpong Champ

Agak sukar juga Romli memandu dalam keadaan begitu dan perlu berhati-hati untuk melalui laluan tu sebab takut tersangkut di dalam lopak. Beberapa kali juga dia terpaksa berhenti dan memastikan laluan yang akan dilalui tu selamat dan tidak termasuk ke dalam lopak. Dalam pada berhati-hati tu, akhirnya kami tiba di laluan yang terlalu sempit dan berlopak-lopak serta lecak dan kereta tidak boleh melalui laluan tersebut lagi. Inilah dia kampung Beng Prol...Saya pun bertanyakan Sukery berapa jauh lagi rumahnya dari situ. Katanya lebih kurang satu kilometer. Oleh sebab kereta sudah tidak boleh lalu lagi, maka saya pun mencadangkan agar berjalan kaki sahaja kerana 1 kilometer tu tak lah jauh sangat sebab jalannya walaupun sempit tetapi ada banyak pokok rimbun dan redup je... tak kena cahaya matahari pun...ok gak la kalau jalan kaki...

Sungai Mekong di Kmpong Champ

Sukery pun bersetuju dan saya pun bersalaman Romli sebab dia tidak mengikuti kami ke rumah Sukery. Sebaliknya dia pulang kerumahnya yang terletak di Kampung Teriah yang terletak arah bertentangan dengan kampung Beng Prol. Namun begitu, laluan untuk pergi ke kampung Teriah agak besar dan tidak berlopak sebab diturap dengan tanah merah. Jadi kereta yang dipandu Romli mudah melalui jalan itu untuk tiba sampai di hadapan rumahnya.

Menanti feri tiba untuk membawa kami beserta kereta menyeberangi Sungai Mekong untuk tiba di kampung seberang

Berbeza dengan kampung Beng Prol, laluannya hanya boleh dilalui dengan berjalan kaki, basikal dan motosikal sahaja. Sewaktu kami berjalan tu, Sukery menelefon jirannya untuk menjemput kami dengan menggunakan motosikal. lebih kurang 5 minit kami berjalan, dua orang jirannya tiba dengan menggunakan 2 buah motorsikal berasingan. Kami pun tanpa lengah terus naik ke atas motosikal tu dan bergerak menuju ke rumah Sukery.

Kereta perlu mengundur untuk masuk ke atas feri

Sekejap je dah tiba di rumah yang terletak di tepian sungai Mekong itu. Saya pun dijemput naik ke rumah yang sangat sederhana itu. Rata-rata rumah penduduk kampung di sini dibina tinggi dari tanah. Menurut cerita, tujuannya adalahuntuk mengelakkan rumah daripada ditenggelami oleh banjir ketika musim tengkujuh. Sebabnya, rumah-rumah di sini dibina berhampiran dengan gigi sungai Mekong tu. Jadi, setiap kali musim tengkujuh tiba, airsungai Mekong akan melimpah dan membanjiri kawasan rumah mereka.... ooo begitu...

Kereta sedang masuk ke atas feri

Feri yang sedang bergerak menyeberangi sungai Mekong

Saya pun tanpa berlengah terus sahaja menaiki tangga yang relatif tinggi untuk masuk ke dalam rumah yang berlantai dan berdindingkan buluh serta bertiangkan kayu bulat yang besar itu. Saya agak kagum dengan kesederhanaan rumah itu lalu mengigatkan saya kepada zaman kanak-kanak dahulu. Suatu ketika dahulu, begitulah juga keadaanya di dalam rumah saya di kampung. Tiada perabut mewah dan tiada barangan mewah. Hanya cukup ada lantai dan bumbung untuk menginap di dalam sebuah ruangan yang dinamakan rumah. Namun saya amat bahagia pada waktu itu.....

Motorsikal terakhir nak masuk ke atas feri

Lembu sedang minum air sungai di sebelah jeti

Kebahagiaan itu tiba-tiba saya rasai kembali kini....saya rasa tenang dan bahagia duduk di atas lantai buluh dalam rumah di kampung Chom ini. Saya merehatkan diri sambil menanti untuk dihidangkan juadah tengahari kerana waktu telah menunjukkan angka 12.00. Tidak lama kemudian, saya dipelawa untuk menjamah juadah yang telah pun disediakan sejak sebelum saya tiba tadi. Hidangannya juga sangat sederhana iaitu nasi putih bersama sup kaki ayam serta belaukkan potongan halus ayam kampung yang dicampurkan dengan sayur kacang panjang. Memang sangat sederhana... namun rasanya sangat lazat terutamanya sayur kacang panjang bersama potongan kecil aqyam kampung itu. Alhamdulillah.... oleh sebab saya tidak begitu memilih tentang soal makanan, maka hidangan itu bagi saya cukup istimewa.

Dah berada di atas feri dah untuk ke kampung seberang

Dah tiba di kampung Beng Prol, kampong Champ, Pnom Pehn

Usai makan tengahari tu, saya berehat sambil beberapa jiran datang ke rumah untuk melihat kehadiran saya. Mereka naik ke rumah namun ekoran kekangan bahasa, maka kami hanya bersapaan sesama sediri dengan senyuman serta anggukan sahaja. Jiran-jiran semuanya gembira menerima kehadiran saya di kampung mereka.... itulah yang saya rasakan.

Dalam rumah Shukri di kampung Beng Prol

Dalam rumah Shukri di kampung Beng Prol

Setelah semua jiran pulang ke rumah masing-masing, Sukery mengajak saya berjalan-jalan melihat sekitar kampung dengan menaiki motosikal. Saya pun dengan besar hati menerima pelawaan itu. Kami singgah di beberapa buah rumah kenalan Sukery dan kebanyakan mereka itu boleh berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dan pernah belajar di Malaysia.

Jambatan yang baharu dalam pembinaan bagi menghubungkan kampung Beng Prol dan kampung Teriah melintasi Sungai Mekong

Pintu gerbang Masjid Ehsan di kampong Beng Prol

Saya juga dibawa menziarahi kampung Teriah di mana Romli tinggal. Kebetulan juga, Abang Sukery turut tinggal di kampung ini di rumah keluarga mentuanya. Jadi kami singgah di rumah mentua abang Sukery dan saya turut menunaikan solat Asar di sini. Usai solat dan berbual-bual, saya pun meminta diri dan Sukery terus membawa saya singgah di rumah keluarga Romli. Kami pun singgah di sini dan ibu-bapa romli seerta saudara-maranya sedang berbual-bual di bawah rumah.

Rumah kampung bertiang tinggi

Rumah kampung dan kandang lembu yang bertiang tinggi

Saya lalu memberi salam dan turut menyertai perbualan mereka kerana kebetulan ada soerang sedara perempuan Romli yang boleh berbahasa Melayu. Katanya dia sering berulang-alik ke Pulau Pinang kerana membantu rakannya berniaga kain di Pasar Malam Sg. nibong. 'Oooo... begitu.... pasar malam tu tak jauh dari rumah saya tu....' saya memaklumkan. Saya pun dihidangkan dengan sebotol air mineral dan perempuan yang cakap Melayu tu pun bagi tau yang minuman manis tidak dihidangkan kepada tetamu pada hari baiasa. Macam teh ke, kopi ke, atau minuman manis yang lain. Sebab katanya minuman manis tu kira mewah la dan hanya dihidangkan kepada tetamu pada hari raya sahaja.

Perusahaan jagung di kampung

Rumah kampung bertiang tinggi

lebih kurang 20 minit berbual-bual di situ, Sukery mengajak saya pulang sebab hari pun dah semakin gelap dan malam bakal menjelang tiba. Saya pun meminta diri kepada semua dan terus membonceng motosikal Sukery menuju pulang ke rumah. Saya pun menikmati pemandangan sepanjang perjalanan itu. Rumah-rumah yang dibina rata-ratanya tinggi dari tanah. Terdapat rumah yang halamannya dipenuhi dengan jangung kering dan mungkin penghuninya mengusahakan tanaman jagung tu...

Kandang lembu bertiang tinggi

Waktu senja di Sungai Mekong, Kampung Beng Prol

Terdapat juga Surau dan masjid yang dibina oleh penduduk muslim di sini dan terletak di antara kuil-kuil buddha yang dimiliki oleh penduduk Khmer yang beragama buddha. Majoriti penduduk di kampung ni samada Melayu Champ mahupun Khmer hidup dengan cara yang sangat sederhana. Suasana kampung di sini sangat damai saya rasakan lalu saya membayangkan kalau suasana puasa dan hari raya, tentunya indah di sini....

Waktu senja di Sungai Mekong, Kampung Beng Prol

Perigi buatan untuk menyimpan air di surau kampung Beng Prol

Tidak lama kemudian kami pun tiba di rumah sewaktu hari sudan kian gelap namun matahari masih cuba memberikan cahayanya yang hampir tenggelam di ufuk langit lalu menimbulkan warna kemerahan. Pada waktu inilah saya ditemani oleh Sukery menuju ke rumah jiran sebelah untuk mandi dan membersihkan diri. Hanya ada satu bilik mandi dan tandas yang dikongsi oleh beberapa buah rumah di kampung ni. Airnya pula dipam dari tanah dengan menggunakan generator. Tapi kalau nak cepat dan tidak mahu beratur, boleh lah berlari ke sungai Mekong bersebelahn dan mandi sahaja di situ... Saya tieak berlama-lama mandi di situ sebab perlu memberi laluan kepada penduduk lain juga. Setelah berwuduk, saya pun pulang ke rumah dan mengenakan kain yang saya bawa sambil menanti Sukery bersiap. Dah siap tu, Kami sama-sama menuju ke surau yangterletak selang sebuah rumah sahaja dari rumah Sukery. Di tepi surau tu terdapat sebuah perigi yang baharu sahaja dibina dan airnya boleh digunakan untuk mengambil air sembahyang. Saya pun naik ke surau yang juga dibina tinggi dari tanah dan bersalaman dengan jemaah yang hadir. Masing-masing jemaah telah maklum bahawa saya orang luar di kampung itu. Usai solat Maghrib tu, saya terus duduk di surau sementara Sukery pulang ke rumah untuk membantu menyiapkan hidangan malam katanya. Saya pun berkenalan dengan jemaah yang juga tinggal di surau tu sementara menunggu waktu solat Isyak. Semuanya jemaah malam tu tidak boleh berbahasa Melayu melainkan seorang Jemaah yang bernama Mansur. Jadi saya pun berbuallah dan Mansur ni sekali-sekala akan turut menjadi penterjemah.

Imam surau berdiri di sisi surau kampung Beng Prol

Menurut Mansur, dia pandai cakap melayu sebab pernah tinggal dan bekerja di Malaysia selama 5 tahun. Tetapi, malang tidak berbau, pada tahun ke5, dia telah ditangkap oleh pihak imigresen Malaysia sebab tidak meimiliki dokumen perjalanan yang sah sewaktu sedang tidur di rumah bersama isteri dan anaknya. Memang kecut juga dia pada masa itu katanya. Namun dia memohon kepada pegawai terlibat agar melepaskan isteri dan anaknya dan membiarkan mereka pulang semula ke Kemboja. Pegawai imigresen terlibat bermurah hati katanya lalu memenuhi permintaaan Mansur dan hanya menangkap dia saqhaja dan dibawa ke kem tahanan. lebih kurang 6 bulan gak la katanya dia berada di dalam kem tahanan tu dan pengalaman tersebut menjadi 'fobia' bagi dirinya. Akhirnya dia dihantar pulang ke Kemboja dan katanya telah bercerai dengan isterinya tersebut....jadi, dia duda lah sekarang ni dan tinggal di rumah ibu-bapanya yang terletak bersebelahan dengan rumah Sukery....

Masuk waktu Isyak, kami pun menunaikan solat secara berjemaah dan usai solat tu, saya pulang ke rumah bersama Sukery dan terus dijamu dengan hidangan malam iaitu nasi putih dan 'som tam' (iaitu kerabu betik yang macam kat Siam tu...) sahaja. Saya tak la lapar sangat sebab tengahari tadi dah makan banyak dah, jadi saya menjamah lebih banyak som tam berbanding nasi. tiada lauk malam ini hanya sup kaki ayam tengahari tadi sahaja yang turut dihidangkan. Namun begitu, hidangannya tetap enak...tidak lama kemudian Mansur pun tiba dan turut dipelawa untuk menjamah som tam. Lepas tu kami pun berbual-bual sebelum masing-masing masuk tidur di dalam kelambu yang telah pun tersedia.....

1 comment:

pelangianganku said...

Assalamualaikum. Saya akan pergi ke Kemboja insha Allah pada 28/1 akan datang. Saya nak tanya ada tak pengangkutan awam lain yang boleh sampai ke Kampong Cham?