English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

this widget by www.AllBlogTools.com

Sunday, October 23, 2011

BERGERAK KE PNOM PEHN, KEMBOJA

22.7.11 (jumaat)
Jam 7 pagi, usai solat dan berkemas, saya pun turun ke lobi hotel untuk urusan mendaftar keluar serta mendapatkan sarapan pagi yang disediakan oleh pihak hotel. Sedang saya menikmati sarapan tu, sempatlah juga menyaksikan kemalangan motorsikal yang berlaku betul-betul di hadapan lobi hotel tempat saya makan tu. Kesian juga tengok wanita yang menjadi mangsa kemalangan tu. Walaupun tidak cedera teruk, kerana pemanduannya agak perlahan tetapi dia tetap jatuh tersungkur setelah dilanggar oleh motorsikal lain yang melalui jalannya... ini lah pertama kali saya menyaksikan kemalangan motorsikal berlaku di Vietnam nih... dengar khabarnya, kemalangan motosikal memang kerap berlaku dan menunjukkan angka kemalangan tertinggi di Vietnam nih...

Usai makan, saya dijemput oleh van ejen pelancongan tempahan tiket bas untuk membawa saya dan beberapa penumpang lain ke stesen bas berhampiran. Setibanya di stesen bas tuh, saya terus diarahkan untuk memasukkan beg ke dalam ruang bagasi bas yang telah sedia menanti di situ. Setelah semua urusan selesai, saya pun mengambil tempat duduk dan bas bergerak meninggalkan Saigon, Vietnam menuju ke Pnom Pehn, Kemboja pada jam 9.30 pagi. Pembantu Pemandu bas memaklumkan tentang perjalan ke Pnom Pehn dalam bahasa Khmer dan sedikit Inggeris sebab bas yang saya naiki ni adalah bas Kemboja. Orangnya pun nampak sopan, lemah-lembut dan sentiasa ramah. Nampak la ciri-ciri Melayu nya di situ...

Sempadan Imigresen Kemboja

Dalam bas tu saya duduk bersebelahan dengan seorang wanita yang memakai tudung dan setelah berbual rupanya dia warga Vietnam Muslim berketurunan Melayu Champ. Melalui perbualan, saya kenali namanya sebagai Sakiroh dan katanya telah berkahwin dengan pemuda Melayu keturunan Champ tetapi warga Kemboja. Mereka telah berkenalan sewaktu sedang belajar di Libya dan terus bernikah di sana. Namun begitu, ekoran perang yang sedang melanda negara Libya, maka mereka terpaksa meninggalkan negara tersebut serta pelajaran mereka di sana untuk kembali semula ke negara asal masing-masing dan sehingga kini masih menanti untuk kembali semula ke Libya apabila negara tersebut telah aman. Sakiroh ni tak pandai berbahasa Melayu tetapi hanya fasih berbahasa Champ dan Arab serta sedikit Bahasa Inggeris. Sewaktu pertemuan kami tu, Sakiroh ni dalam perjalanan menuju ke Pnom Pehn juga untuk bertemu dengan suaminya yang tinggal di Kampong Chom, Kemboja.



Leka berbual, akhirnya kami pun tiba di Imigresen Vietnam dan Kemboja dan segala urusan di kedua-dua sempadan ni berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Setelah melepasi Imigresen Kemboja, bas berhenti seketika di sebuah restoran untuk memberi peluang kepada para penumpang ke tandas serta mendapatkan makan tengahari. Oleh sebab hidangan restoran ni tidak halal, jadi saya naik semula ke dalam bas setelah melepaskan urusan di tandas. Sebagai pengalas perut, saya pun mengeluarkan barangan yang saya beli semalam untuk dimakan sementara menunggu penumpang lain menyelesaikan hidangan mereka. kira-kira 30 minit berlalu, akhirnya semua penumpang telah masuk semula ke dalam bas dan kami meneruskan perjalanan menuju ke destinasi di Kemboja nih.

Bas perlu menaiki feri menyeberangi sungai Mekong untuk tiba dari imigresen ke kota Pnom pehn

Sebelum tiba di kota Pnom Pehn, bas yang kami naiki perlu masuk ke dalam sebuah feri bagi membolehkan kami menyeberangi sungai Mekong yang terkenal itu untuk tiba di kota Pnom Pehn. Kira-kira 20 minit gak la bas kami berada dalam feri tu dan semua penumpang tidak dibenarkan keluar dari dalam bas, sehinggalah kami tiba di seberang sungai. Teringat la pulak zaman kecil-kecil dahulu, macam ni lah gayanya ketika saya di bawa oleh arwah ayah untuk ke pekan Teluk Intan, Perak dari kampung kecil tempat tinggal saya ketika itu iaitu di Chenderung Balai, Teluk Intan, Perak. Masa tu sungai kat Teluk Intan (dulu namanya Teluk Anson)tu tak de lagi jambatan. Jadi kami semua naik feri je lah...nostalgik sangat...

Selepas menyeberangi sungai tu, bas pun meneruskan perjalanan dan akhirnya kira-kira jam 3.00pm, kami pun tiba di stesen bas Pnom Pehn yang sederhana sahaja keadaannya itu. Tiba di situ, Suami Sakiroh yang bernama Sukery telah pun sedia menanti. Saya pun diperkenalkan oleh Sakiroh kepada Sukery dan kami pun berkenalan. Suami Sakiroh ni pun tidak boleh berbahasa Melayu tetapi fasih berbahasa Melayu Cham, Khmer, Arab dan sedikit Bahasa Inggeris. Setelah berkenalan, Sukery mendapatkan Tuk Tuk untuk membawa kami menuju ke hotel yang telah pun sedia ditempah oleh Sukery sementara menunggu kehadiran kami tadi.

Menaiki Tuk-Tuk dari stesen bas Pnom Pehn menuju ke hotel

Setelah semua barang diletakkan ke dalam Tuk Tuk, kami pun menaiki kenderaan motorsikal beroda tiga itu lalu bergerak meninggalkan stesen bas menuju ke hotel Indochina. Kira-kira 15 minit perjalanan Tuk Tuk, kami pun tiba di hotel Indochina yang terletak bersebelahan dengan persisiran Sungai Mekong (waterfornt) yang juga merupakan lokasi penginapan pelancong. Setibanya di situ, saya terus mendaftar masuk ke bilik yang sudah sedia ditempah itu dengan kadar harga USD10 untuk satu malam. Biliknya pun ok gak la.... sesuai la dengan harganya...setelah meletakkan barang, saya pun turun semula ke lobi hotel sebab dah berjanji dengan Sukery dan Sakiroh untuk mendapatkan makan tengahari bersama-sama.

Hotel Indochina, tempat saya menginap selama berada di Pnom Pehn, Kemboja

Kira-kira lima minit menunggu, Sukery dan Sakiroh pun muncul dan kami pun bergerak menuju ke restoran halal yang terletak betul-betul berhadapan arah bertentangan dengan hotel Indochina tu... mmmm... ok gak lokasi ni...pemilik restoran ni boleh berbahasa Melayu, jadi saya memesan makanan menggunakan Bahasa Melayu je lah. Menurut Sukery, pemilik asal restoran ni adalah orang Melayu Malaysia. Tetapi kemudiannya ia diserahkan kepada pekerjanya yang berketurunan Melayu Champ yang sekarang menjadi pemilik restoran ni... ooo begitu rupanya.... Pemilik Melayu Malaysia tu pulak telah membuka satu lagi restoran halal di lokasi yang lain di sekitar Pnom Pehn ni gak...Sedap gak masakan di restoran nih... memang ada citarasa Melayu la... jadi kalau sapa-sapa yang tiba di Pnom Pehn ni, singgahi lah lokasi restoran nih... sewaktu saya makan tengahari di situ, memang terdapat beberapa pelancong Melayu Malaysia yang singgah makan di situ gak.

Restoran Halal, letaknya betul-betul berhadapan hotel Indochina

Oleh sebab lapar sangat, saya pun memesan nasi goreng dan sup yang ala-ala tomyam. Tapi namanya bukan tomyam. Diorang panggil sup je. jadi saya pun pesanlah sup. mmmm...memang enak citarasa Melayunya. Sambil makan tu, kami pun berbual-bual lagi... kali ni dengar cerita dari Sukery plak.

Hidangan tengahari

Menurut kata Sukery, di Pnom Pehn ni banyak syarikat Malaysia yang membuat pelaburan. Bahkan katanya, Pnom Pehn ni dah macam 'Malaysia yang kedua'. Bernarkah begitu? Ntahlah... itu kata Sukery tentang fenomena pembangunan yang sedang dialami oleh Pnom Pehn kini. Sukery ni sama lah seperti isterinya Sakiroh, terpaksa pulang ke Kemboja sehinggalah negara Libya menjadi aman. Sewaktu di Libya, Sukery ni mengambil jurusan pengajian Bahasa Arab. Dah 5 tahun katanya tinggal di Libya dan masih perlu menamatkan pengajiannya di sana. Komunikasi di antara Sakiroh dan Sukery serta keluarganya adalah dalam bahasa Melayu Champ sebab Sakiroh tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Khmer. Sukery pulak tidak boleh berbahasa Vietnam. Jadi, Melayu Champ lah yang menyatukan mereka. Tetapi kedua-duanya juga fasih berbahasa Arab.

Agak lama juga kami menikmati hidangan tengahari tu sambil berbual sehinggalah petang menjelma dan Sukery dan Sakiroh meminta izin balik ke hotel untuk berehat. Begitu juga dengan saya. Namun, sebelum kami berpisah tu, Sukery dah berjanji dengan kawannya untuk sama-sama menikmati makan malam nanti di restoran yang sama. Kawannya itu menginap di hotel yang sama juga dengan kami. Sukery menjemput saya menyertai mereka untuk makan malam nanti dan saya pun bersetuju. Saya terus masuk ke kamar dan menunaikan solat sambil merehatkan diri sehinggalah malam menjelma.

Sukery & Sakiroh - Makan malam bersama kenalan baharu di Pnom Pehn, Kemboja

Selesai menunaikan solat, kira-kira jam 8.00 malam, seperti yang dijanjikan, kami pun bertemu di restoran yang sama tempat kami mendapatkan hidangan tengahari tadi. Saya diperkenalkan dengan Romli (sepupu Sukery) dan Shukri (teman sekampung Sukery - nama mereka sama, cuma ejaan lain sikit). Si Romli, sepupu Sukery ni agak sukar berbahasa Inggeris namun mudah dan sentiasa tersenyum. Romli ni sedang menuntut di sebuah universiti di Pnom Pehn nih. Shukri ni pulak sangat fasih berbahasa Melayu sebab dia pernah menamatkan pengajian peringkat sekolah menengah di Kelantan. Kemudian menyambung pengajian Ijazah Pertama di UIA, Malaysia dan sewaktu pertemuan kami ni, dia sedang menunggu penerbangan untuk melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana di Jordan. Jadi, Shukri ni fasih berbahasa Melayu, Champ, Khmer, Arab dan Inggeris. Memang seronok berbual sambil menikmati hidangan malam di Pnom Pehn ni setelah berminggu-minggu saya menjelajah sekitar Indochina dan Lembah Mekong ni.

Romli & Sukery - Makan malam bersama kenalan baharu di Pnom Pehn, Kemboja

Usai makan malam tu, Shukri memohon diri untuk berehat kerana besok dia akan berangkat menaikai kapalterbang. Kami pun bersalaman dan berjanji untuk bertemu seketika sebelum dia bertolak ke lapangan terbang esok pagi. Setelah berpisah, Sukery, Sakiroh dan Romli mengajak saya bersiar-siar keliling kota Pnom Pehn menaiki kereta yang dipandu oleh Romli. Katanya kereta ni adalah milik abangnya yang dipinjam untuk membawa kami bersiar-siar malam tu. Si Romli ni tinggal bersama dengan abangnya di Pnom Pehn nih....

Shukri - Makan malam bersama kenalan baharu di Pnom Pehn, Kemboja

Saya pun dibawa mengelilingi kota Pnom Pehn yang relatif sederhana besar itu. Kata si Romli, kota ni kecil je dan bangunan yang tinggi pun ada satu je. Pnom Pehn masih lagi dalam proses pembagunan. Perjalanan kami mengelilingi kota ni juga tidak mengambil masa yang lama, kira-kira 30 minit sahaja sebab tak ada apa lagi dah yang nak ditunjukkan, kata si Romli. Semua bahagian kota nih telah dilalui, katanya. Kemudian, Romli singgah di sebuah kedai menjual minuman dan mempelawa saya untuk menikmati jus buah pada malam itu. Sambil berbual tu, Sukery dan Sakiroh mengajak saya ikut pulang ke kampung mereka yang terletak di Kampong Chom pada esok hari. Memandangkan besok baru hari Sabtu dan penerbangan pulang saya ke Malaysia pada hari Isnin, maka saya pun bersetuju mengikuti mereka pulang tetapi untuk tempoh satu malam sahaja, sebab saya tidak mahu ketinggalan kapal terbang. Mereka pun bersetuju... Usai minum jus, kami pun pulang semula ke hotel untuk merehatkan diri.

No comments: