English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

this widget by www.AllBlogTools.com

Wednesday, June 17, 2009

WILAYAH XIN JIANG - KEMBARA SUTERA BERMULA


Usai Seminar di BFSU saya terus bergegas menaiki pesawat untuk memulakan kembara yang telah lama saya impikan ini. Destinasi pertama yang akan saya tujui adalah Urumqi [Ulumuqi dalam sebutan Cina] yang terletak di dalam wilayah Xin Jiang di sebelah Barat China. Walaupun sebenarnya saya lebih teruja untuk menaiki keretapi sahaja dari Beijing ke Urumqi, tetapi memandangkan jangkamasa perjalanan yang diambil terlalu lama iaitu kira-kira 48 jam maka saya terpaksa menggunakan pesawat. Sebabnya, tempoh cuti untuk saya melakukan kembara pada kali ini terlalu singkat. Jadi, dari Beijing saya menaiki pesawat Hainan Airways ke urumqi yang mengambil masa penerbangan selama 4 jam. Waktu di wilayah Xin Jiang ni berbeza dengan Beijing iaitu lewat 2 jam. Waktu Subuhnya lebih kurang sama dengan Malaysia iaitu kira jam 6.00 pagi tetapi waktu Maghribnya lebih lewat iaitu kira-kira jam 10.15 malam.

Wilayah Xin Jiang ini didiami oleh masyarakat keturunan Uighur yang beragama Islam. Kalau sebelumnya jumlah penduduk Islam keturunan Uighur di wilayah Xin Jiang ni mencecah 90% tetapi kini telah menjadi 50% sahaja ekoran penempatan semula penduduk oleh kerajaan China sekitar tahun 1990-an yang meletakkan masyarakat keturunan Cina ke dalam wilayah ini. Pun begitu, kebanyakan masyarakat keturunan Cina tinggal di bandar-bandar sebagai pengusaha perniagaan mahupun pentadbiran manakala masyarakat Uighur tinggal di kampung-kampung sebagai peladang dan penternak.

Bahasa seharian yang digunakan adalah bahasa Uighur dengan menggunakan tulisan Arab [tulisan Jawi la kalau di Malaysia!!!] manakala bahasa Mandarin adalah bahasa rasmi. Pun begitu, majoriti masyarakat Uighur boleh berkomunikasi dalam bahasa Mandarin tetapi tidak boleh menulis dalam tulisan Cina sebaliknya hanya boleh menulis tulisan Arab.

Hal ini kerana, di sekolah mereka hanya mempelajari tulisan Arab dan bahasa Mandarin kerana kekurangan guru Cina yang bersedia mengajar anak-anak Uighur yang tinggal di pedalaman.

No comments: