









































Pada 26.7.08 telah berlangsungnya bengkel Kuda kepang yang julung kalinya diadakan di bandar George Town, Pulau Pinang ini. Bengkel yang diadakan di Pusat Belia Pulau Pinang, Lebuh Acheh mendapat sambutan yang agak menggalakkan daripada para peserta. Bilangan peserta yang hadir menepati jumlah yang dihadkan iaitu seramai 30 orang sahaja. Tujuannya supaya semua perserta dapat melibatkan diri secara aktif dalam bengkel tersebut. Para peserta terdiri daripada pelajar IPT, Pejabat kebudayaan P.Pinang dan kumpulan teater NGO pulau pinang. Tepat jam 2.50pm, rombongan kumpulan Kuda Kepang Sri Wahyuni, Parit Bingan, Batu Pahat Johor tiba di lokasi yang ditetapkan. Kumpulan ini diketuai oleh Wak Mat dan diiringin oleh tiga orang pegawai dari Jabatan Warisan, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia iaitu Cik Haniza, Cik Yati dan Cik Mazlin. Struktur bengkel tersebut dibahagikan kepada tiga fasa iaitu Pengenalan kepada Kuda Kepang, Bengkel Tarian dan Bengkel Muzik yang diketuai oleh Wak Mat. Sepanjang hampir tiga jam bengkel itu berlangsung, semua peserta samada dari Pulau Pinang mahupun ahli kumpulan Sri Wahyuni, nampaknya menikmati aktiviti yang dilaksanakan. Bagi peserta Pulau Pinang, tentunya ini merupakan pengalaman yang agak asing bagi mereka kerana kebanyakannya tidak pernah menonton persembahan kuda kepang sebelum ini. Untuk itu juga, jutaan terima kasih diucapkan kepada Kumpulan Kuda Kepang Sri Wahyuni dan KEKKWA sebagai penaja utama, kerana sudi bagi memungkinkan terlaksananya bengkel tersebut. Yang dalam masa yang sama juga turut memeriahkan acara sambutan George Town sebagai Kota Warisan Dunia.