English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

this widget by www.AllBlogTools.com

Wednesday, April 29, 2009

Bali Spirit Festival



Antara acara yang menarik bagi sesiapa yang ingin ke Bali sekitar bulan Mei dan Jun 2009 adalah acara tahuna 'Bali Spirit Festival' yang merupakan kolaborasi Yoga, Dance dan Music. Sila lawati laman sesawang berikut untuk maklumat lanjt: www.balispiritfestival.com. Acara lain yang tidak kurang menariknya adalah 'Upacara Pembakaran Mayat' yang akan berlaku hanya pada 29 April, 3 Mei dan 5 Mei 2009. Seperti yang saya sebutkan dalam entry terdahulu mengenai mayat yang telah dikebumikan akan digali semula dalam tempoh tidak lebih dari 3 tahun untuk dilakukan upacara pembakaran dan penyediaan sajen. Upacara ini hanya akan berrlaku pada tiga tarikh tersebut sahaja. Untuk keterangan lanjut sila hubungi ejen pelancongan di Bali seampainya sahaja anda di Bali ni.

Thursday, April 23, 2009

PENJOR


22.4.09 [Rabu] Hari ini merupakan hari terakhir bagi “Hari Raya Galungan dan Kuningan” yang diraikan oleh masyarakat Bali sejak awal April lalu. Upacara penutupnya ditandai dengan mencabut ‘Penjor’. Penjor ialah buluh yang dicacakkan di hadapan setiap rumah penduduk Hindu Bali sepanjang berlangsungnya Hari Raya Galungan dan Kuningan. Secara simboliknya, mengikut resmi buluh bermula dengan rebung yang kecil dan apabila semakin membesar ia akan menjulang tinggi ke langit. Apabila ketinggiannya sudah mencapai tahap maksimum maka hujung pucuknya akan melentur ke bawah. Jadi, resmi buluh itulah yang perlu diikuti oelh manusia Bali, apabila sudah berada di puncak kejayaan mahupun kekayaan, jangan lupa untuk melihat kebawah. Tempat dari mana kita bermula supaya tidak lalai dan alpa tentang dari mana asal-usul kita. Pun begitu, bagi keluarga yang mengalami kematian adalah dilarang mencacakkan penjor di hadapan rumah mereka kerana itu merupakan pantangnya. Keluarga yang mengalami kematian juga tidak dibenarkan pergi ke pura melainkan setelah mayat dikebumikan dan sajen pengebumian telah diberikan. Itu pun ada syaratnya lagi iaitu hanya boleh pergi ke pura selepas tiga hari sajen diberikan. Kesahhhnyaa....

SAJEN KEMATIAN



Masyarakat Hindu Bali terdiri daripada 4 kasta yang utama iaitu Brahmana, Agung, Gusti dan rakyat biasa. Bagi tiga kasta teratas iaitu Brahmana, Agung dan Gusti mungkin tidak begitu bermasalah dalam menyediakan sajen kematian ahli keluarga mereka kerana golongan ini lazimnya adalah keturunan yang berada dalam masyarakat Bali. Pun begitu, sajen kematian adalah ‘relatif sangat mahal’ bagi orang biasa yang kurang berkemampuan sehingga mereka tidak berupaya menyediakannya sendirian.



Menurut kepecayaan Hindu Bali, mayat orang yang meninggal perlu dibakar dan dalam masa yang sama juga sajen perlu disediakan. Nah! Penyediaan sajen ini yang memakan belanja yang mahal kerana keluarga yang masih hidup perlu menyediakan sajen yang perlu dihantar ke pura di Besakih yang terkenal itu dan juga untuk setiap puara yang terdapat di seluruh pulau Bali ini yang jumlahnya beratus buah. Bayangkan, dalam satu desa sahaja terdapat paling kurang 3 buah pura, itu tidak termasuk pura yang terdapat dalam setiap buah rumah penduduk. Kemudian didarab dengan jumlah semua desa dan didarab lagi dengan jumlah kecamatan lalu didarab pula dengan jumlah kabupaten. Jumlahnya, itulah tadi hampir ratusan buah pura di dalam provinsi Bali. Jadi, lazimnya kalau sebuah keluarga dalam kalangan kasta biasa ada kematian maka mayatnya akan dikebunikan terlebih dahulu kerana upacara penkebumian tidak memerlukan sajen yang banyak dan rinci. Kemudian dalam tempoh 3 tahun selepas dikebumikan ataupun jumlah kematian mencapai 50 orang [tergantung mana satu yang dahulu tetapi tempohnya tidak boleh melebihi daripada 3 tahun] maka kubur perlu digali semula dan mayat akan dikeluarkan untuk dibakar. Penyediaan sajen untuk upacara pembakaran ini akan dikongsi bersama oleh 50 keluarga yang terlibat secara bersama. Abu mayat yang telah dibakar tadi akan dihanyutkan ke laut dan memerlukan sajen juga untuk upacara ini. Kubur yang sudah digali tadi boleh digunakan semula untuk menanam mayat yang lain. Sekiranya mayat dibiarkan dikembumikan terlalu lama dan tidak dibakar serta diberikan sajen, dipercayai bahawa rohnya akan sentiasa berkeliaran kerana tidak tenteram ekoran tidak diberikan sajen. Selepas diberikan sajen dan abu mayat dihanyutkan ke laut maka suatu penyucian telah dilakukan dan roh tidak akan berkeliaran lagi kerana telah bersih dan suci. Tujuan pembakaran mayat itu menurut kepercayaan Bali adalah untuk mengembalikan semua lima elemen jasad yang terdiri daripada tanah, air, api dan angin kepada kosmos. Dengan itu, roh akan berlalu untuk mencari kehidupan barunya melalui ‘reincarnation’ atau kelaiharan semula. Disebabkan upacara pembakaran mayat ini dilakukan secara berkelompok dan hanya berlaku pada hari-hari tertentu mengikut kalendar Bali maka sekarang upacara ini telah turut dimasukkan dalam pakej pelancongan Bali.

PANTAI ‘LEBIH’


21.4.09 [Selasa] Sebelum kembali ke Kuta pagi esok, petang ni saya bercadang untuk jalan-jalan ke pantai Lebih yang dilaporkan oleh Bali Post awal minggu ini sebagai lokasi yang mengalami hakisan teruk di Pulau Bali ni. Ditemani oleh Pak Joni yang kebetulan tidak sibuk petang ini, kami bergerak dari Ubud pada jam 4.00 petang. Pantai Lebih ni tak jauh sangat dari kota Gianyar iaitu kira-kira 7 kilometer sahaja. Jadi jam 4.20 minit petang dah sampai di pantai tu. Terdapat tiga pantai yang berdekatan di persisir pantai timur pulau Bali ni iaitu pantai Lebih, pantai Ginati dan pantai Saba [dalam sebutan Bali berbunyi ‘Sabo’]. Di persisir pantai ni juga telah dibuat lebuhraya baru yang di Bali dipanggil sebagai ‘by pass’ iaitu lebih kurang kalau di Malaysia tu lebuhraya la…namanya ‘by pass’ ‘Prof. Idi Bagus Mantro’ menghubungakan Galungkung dan Denpasar. Kira macam jalan ‘short cut’ la… sebab memang cepat pun kalau nak ke Denpasar melalui lebuhraya pesisir pantai ni dan yang pentingnya di sini tak ada toll ye…pemandangannya juga cantik sebab lebuhraya tu dibina merentasi kawasan sawah padi yang menganjur ke pantai. Maknanya lebuhraya tu ditengah-tengah dan sawah padi tu di satu sisi betul-betul di tepi pantai dan satu sisi lagi di lerengan bukit. Pantai ni tidak begitu dikunjungi pelancong walaupun cantik kerana ombaknya kuat dan tidak sesuai untuk mandi-manda. Jadi, prasarananya juga tidak dimodifikasi mengikut piawaian pelancongan. Kawasan kampung nelayan dan petani je… tapi itulah keunikann dan keindahannya yang asli. Walaupun begitu, sewaktu saya bersiar-siar di sini terdapat juga anak-anak Bali yang bermain ‘surfing’ [luncir air] kerana ombaknya memang sesuai untuk permainan tersebut tetapi perlukan kawalan kerana ombak besarnya amat berbahaya. Sewaktu saya singgah minum ‘teh botol’ di warung tepi pantai tu sempt saya bertanya pada ibu penjual tu, ‘tak ramai orang hari ni ye bu?’. ‘enggak’! jawab ibu tu. ‘Bila orang ramai datang ibu?’ saya bertanya lagi. ‘Hari minggu orang ramai… anak-anak muda’. Pak Joni menjelaskan pada saya bahawa anak-anak muda yang dimaksudkan oleh ibu itu adalah rmaja-remaja Bali yang sedang berpacaran akan ‘dating’ ke sini pada hari minggu.

Pasir pantainya berwarna hitam dan tidak putih seperti di pantai Kuta. Sebab itulah padi boleh hidup di tepi pantai ni sebab tanahnya merupakan kesan gunung berapi yang subur walaupun berpasir. Batu-batu kerikilnya juga berwarna hitam bulat dan sangat cantik dan sesuai dijadikan hamparan batu hiasan di halaman rumah. Menurut Pak Joni, sawah padi tu dulu agak jauh juga diri pantai tetapi disebabkan oleh hakisan pantai maka sawah tu dah betul-betul bertembung dengan gigi pantai. Bah kan kalau air pasang dan ombak besar air laut tu boleh masuk melimpahi ke dalam sawah. Ancaman hakisan pantai inilah yang dilaporkan oleh Bali Post tempohari dan sekiranya hakisan ini berterusan maka ia akan merosakkan dan menenggelamkan terus kawasan sawah padi itu. Jadi, dari segi makanan penduduk di sini boleh dikatakan mewah kerana mereka melakukan dua kerja yang menyumbang kepada punca makanan utama iaitu sebagai nelayan untuk mendapatkan ikan dan sebagai petani untuk makan nasi… mewah kannn..!!! fenomena itulah yang mengujakan saya sewaktu mula-mula datang ke Pulau Bali ni iaitu sawah di tepi pantai. Bukan tanaman padi sahaja, petak-petak sawah tersebut juga turut diselangi dengan tanaman lain seperti jagung, kangkung dan sayuran lain. Kerana sawah di sini tidak bermusim, sebaliknya semua musim ada dalam satu bidang sawah tu. Dalam satu bidang sawah tu ada beberapa petak, satu petak padi dah masak menguning, satu petak lagi sedang dituai, satu petak lagi masih hijau buah padinya, satu petak lagi masih hijau dan belum berbuah, satu petak lagi sedang diairi untuk melembutkan tanah, satu petak lagi digunakan untuk semaian padi, satu petak lagi yang kering sebab baru lepas dituai ditanam dengan jagung, petak sebelah ditanam dengan kangkung dan lain-lain lagi. Tanah yang kosong dan terbiar tidak ada dalam kamus pertanian Bali. Menurut kepercayaan mereka tanah harus dihormati dan tidak boleh dibiarkan kosong atau bersemak-samun tanpa diusahakan kerana itu merupakan suatu pantang. Sebab itulah jarang kedapatan malah tidak pernah saya jumpa lagi orang Bali yang meminta sedekah di tepi jalan atau di pura. Kerana mereka semuanya tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan makanan dan semuanya tidak perlu dibeli. Setiap rumah pasti mengusahakan cucuk tanam dan memelihara ayam serta itik yang tujuan utamanya juga adalah untuk kemudahan meyediakan sajen bagi upacara keagamaan.

Monday, April 20, 2009

KORBAN ANJING!!!

Bercerita mengenai upacara ‘Dewa Turun Kabeh’ sewaktu ‘Panca Bali Krama’ ni, saya tertarik untuk bertanya orang di sini mengenai korban haiwan yang dilakukan sewaktu upacara ni. Katanya dari yang sekecil-kecil binatang seperti cengkerik hinggalah yang terbesar iaitu lembu dan kerbau. Saya tanya gajah tak ada ke? Jawaban ringkasnya ialah ‘susah nak jumpa gajah dan susah nak bunuh sebab keras dan liat’. Saya ‘gatal’ mulut menduga lagi… ‘anjing macamana? Ada tak yang dijadikan korban?’… jawabnya ‘ada’! Tapi bukan sebarangan anjing, ada profil anjing tertentu yang menjadi persyaratannya. Syaratnya ialah, anjing tersebut mestilah yang berwarna cokelat seluruh bulunya dan ada sedikit tompok putih di hujung ekornya, sedikit tompok putih di muncung mulutnya dan setitik tompok putih di dahinya yang terletak di antara kedua-dua belah mata anjing tersebut. Memang susah katanya nak dapat profil anjing yang sedemikian tetapi ia wujud katanya. Jadi, untuk mendapatkan anjing itu, maka usaha untuk mencarinya dilakukan lebih awal iaitu kira-kira 5 hingga 6 bulan sebelum berlakunya waktu ‘Panca Bali Krama’. Haiwan-haiwan yang dikorbankan tersebut akan dihidangkan untuk sajen [sajian] para dewa dengan menanamkannya di setiap pura yang ada di Pualau Bali ini.

“DEWA TURUN KABEH” DI BESAKIH

20,4.09 [Isnin] telah berhari-hari ditangguhkan maka hari ni saya nekad juga untuk ke Besakih menyaksikan upacara ‘Dea Turun Kabeh’ yang sedang disambut dengan meriah itu. Saya keluar jam 8.00 pagi melalui Tegallalang dan terus sampai ke Kintamani, lokasi yang sering kuruidui. Dari Kintamani belok ke kiri menaiki lerengan gunung Agung. Masalah yang perlu dihadapi dengan memandu motosiakal bersendirian adalah memilih arah yang perlu dituju apabila berada dipersimpangan sama ada simpang tiga atau simpang empat. Sebabnya, tidak ada langsung tanda arah jalan menuju ke Besakih ni. Menurut seorang pekerja perhotelan dan pelancongan yang saya temui memberitahu bahawa sengaja tidak diletakkan tanda arah jalan supaya para pelancong yang ingin berkunjung ke Besakih akan menggunakan khidmat pekerja pelancongan. Jenis orang yang macam saya nak pergi sendiri ni haruslah berkorbaan sikit, perlu siap siaga memerhatikan laluan dan daya ingatan perlu tancap. Yang paling penting adalah jangan malu bertanya dan cubalah ringan-ringankan mulut serta manis-masinkan bahasa untuk menyapa orang-orang kampung sambil bertanya. Satu jam sampai di Kintamani dan dari sana perlu turun naik gunung dulu namun pemandangannya Subhanallah…. Memang indah dan sungguh mengasyikkan. Panorama yang indah itu bila terpandangkan gunung Batur diapit oleh gunung Penulisan di sebelah kirinya dan gunung Agung di sebelah kanannya dengan tasik Batur di lembahnya yang menjadi penghubung laluan. Dalam turun naik gunung tu selama hampir satu jam dari Kintamani baru sampai di Desa Besakih. Dah sampai di desa ni baru ada tanda jalan menunjukkan ‘Besakih’, memang la… dah sampai…. ada la tandanya….malangnya jalan kampung di Besakih yang menjadi laluan utama ke pura Besakih ni macet teruk. Laluan yang sepatutnya dua hala dah jadi satu hala. Bas parawisata berderet-deret di sepanjang jalan kampung yang sempit itu. Semalam Ahad, Bali Post melaporkan macet teruk berlaku sejauh 15 kilometer bermula dari Kalungkung hingga ke pura Besakih. Rupanya hari ni pun sama juga, walaupun macetnya tak la sejauh 15 kilometer seperti semalam tetapi jalan di kampung tu memang dah tak bergerak. Kenderaan empat roda merupakan punca utama kesesakan jalan. Itu tak termasuk lagi dengan bas yang rosak dan sebagainya yang tersadai di tepi jalan yang menambahkan lagi kegawatan lalulintas itu. Bila dah sampai di kampug Besakih saya berhenti sekejap memandangkan dah tak boleh nak bergerak pun! Kemudian ada seorang ibu yang baru pulang dari pura duduk berhenti jugak kat sebelah saya, lalu saya pun bertanya pada ibu tu, ‘jauh lagi ke ibu pura Besakih tu dari kampung ni? Dan ibu menjawab ‘ya jauh lagi di dalam hutan sana tu’. Ye la saya nampak hutan tebal je kat depan tu… sebab pura tu terletak di kaki gunung Agung iaitu gunung terbesar di pulau Bali ni dan dipenuhi dengan hutan tebal. Bukan seperti kaki gunung Batur yang lembahnya bertasik dan dikelilingi kebun sayur. Saya bertanya sekali lagi bagi memastikan jawaban ibu itu dan ibu itu menjawab dalam nada yang sama ‘jauh lagi di sana tu’. Setelah berfikir dua tiga kali kata-kata yang diucapka oleh ibu itu, dan macet yang sangat teruk maka saya mengambil keputusan untuk berpatah balik sahaja. Lagi pun saya dah sampai dah di kampung Besakih ni, cuma tak sampai ke puranya sahaja [sekadar untuk memujuk hati sendiri]. Mengkelan juga sebab tak sampai ke destinasi sebenar yang hendak dituju setelah 2 jam bermotosiakal tanpa henti turun dan naik gunung. Memang teringin sangat untuk melihat lokasi sebenar yang dikatakan sebagai ‘pusat dunia’ itu dan dikatakan tempat bagi upacara ‘Dewa Turun Kabeh’ yang hanya berlaku sekali dalam tempoh 10 tahun. ‘Dewa Turun Kabeh’ adalah upacara amalan yang dilakukan oleh Hindu Bali dalam waktu ‘Panca Bali Krama’ dan ‘Dewa Turun Kabeh’ bermaksud dewa turun ke bumi untuk bermesyuarat. Menurut kepercayaan Hindu Bali dalam setiap 10 tahun sekali, para Dewa Hindu dari seluruh pulau Bali mahu pun yang di luar Bali akan turun bermesyuarat di pura Besakih ini. Jadi, penganut Hindu Bali mengadakan upacara di pura ini dan datang beramai-ramai sebagai suatu simbol untuk menyambut dan meraikan permesyuaratan para dewa Hindu tersebut. Di samping itu juga, mereka berharap agar mendapat keberkatan daripada para dewa yang telah turun ke dunia itu. Acara ini akan berakhir pada 27 April 2009 akan datang. Jadi, macet agak gawat juga apabila menjelangnya saat-saat akhir upacara tersebut. Saya meneruskan perjalanan pulang meninggalkan Besakih melalui jalan yang sama dan berharap mungkin suatu hari nanti ada kesempatan lain untuk ke mari lagi. Dua jam perjalanan pulang menjadikan keseluruhan perjalanan selama 4 jam dengan berhenti seketika untuk mengambil gambar sahaja….

FESTIVAL KESENIAN BALI 2009 – KABUPATEN GIANYAR

Selepas solat Jumaat kira-kira jam 1.30 tenghari terasa lapar la pulak sebab belum makan tengahari lagi bagi mengelakkan mengantuk ketika mendengar khutbah Jumaat. Di luar masjid terdapat beberapa kereta sorong menjual bakso. Penjualnya adalah pemuda-pemuda Muslim dari pulau Lombok yang berhijrah ke Bali untuk mencari rezeki dengan berniaga kecil-kecilan. Saya singgah sekejap untuk makan bakso bagi melapik perut sebelum terjumpa kedai nasi halal. Saya tak bercadang nak balik ke hotel sebab jam 4.00 petang nanti merupakan upacara perasmian Hari Jadi kota Gianyar. Jadi, usai makan bakso yang berharga RP 4,000 [lebih kurang RM1.30] itu saya bersiar-siar dulu menelusuri kota Gianyar untuk memahami sistem jalanrayanya. Tup-tup… terjumpa kedai makan Padang Muslim tidak jauh dari lapangan Gianyar yang merupakan lokasi upacara perasmian nanti. Singgah la pulak makan nasi bagi memenuhi selera tengahari itu. Acara akan bermula jam 4.00 petang nanti, jadi sementara menunggu masa tu saya bersiar-siar di sekitar lapangan untuk upacara nanti. Selepas saya usai solat asar di Masjid Agung Aal-A’la barulah acara persamian bermula.

Sebanyak tujuh kecamatan dalam kabupaten Gianyar yang terlibat dalam acara persembahan perasmian ini iaitu Ubud, Sukawati, Batu Belah, Gianyar, Tampak Siring, Tegallalng dan Payangan. Acara dimulakan dengan ‘pawai’ atau perarakan di atas jalan raya utama kota Gianyar menuju ke pentas persembahan yang didirikan di sisi lapangan Gianyar. ‘Pawai’ dimulai dengan kumpulan jeputan dari Universiti Udayana, Denpasar. Apabila sampai sahaja di pentas acara peserta terus naik ke pentas dan membuat perembahan menghadap para tetamu kehormat. Setiap peserta dari kecamatan terlibat disertai oleh penari, pelakon, penyanyi, dalang dan pemuzik. Ke tujuh-tujuh kumpulan yang mewakili kecamatan masing-masing itu mempersembahkan persembahan berbentuk taridra dengan iringan muzik ‘live’ dan bukan persembahan tarian semata-mata. Kesemuanya menampilakan kepelbagain ragam kesenian Bali yang rinci dari segi tari, lakon, lagu dan muzik yang digembelingkan menjadi sebuah taridra dengan mengangkat akar tradisi sebagai asasnya. Sumber cerita pula digarap dari epik Ramayana dan Mahabhrata dengan sisipan mitos Bali. Pun begitu, turut dipalitkan sedikit modifikasi bagi memberikan nuansa kontemporari. Setiap kecamatan berusaha menampilkan keunikan dan keistimewaan tradisi kampung mereka melalui persembahan masing-masing. Acara penuh warna-warni itu berlangsung selama kira-kira 2 jam 30 minit dan dihadiri oleh orang-orang kenamaan Bali, sesungguhnya sangat menghiburkan dan memukau dengan spirit tradisional Bali yang jitu. Para peserta yang terlibat pula adalah terdiri daripada kanak-kanak seusia 4 tahun hingga 60 tahun. Kesemua komuniti saling bahu-membahu untuk menjayakan acara ini dengan semangat kerjasama berkumpulan yang memang telah mendarah-daging dalam jiwa masyarakat Bali. Melihat kepada acara persembahan tersebut, Bali masih berupaya melestarikn warisan kesenian tradisinya untuk dasawarsa mendatang.

BEDUK & KERANTUNG


Jam 11.30 pagi seusai mandi selepas balik dari Kintamani tadi saya bergerak menuju ke kota Gianyar untuk menunaikan solat jumaat. Masjid masih lagi kosong bila saya tiba jam 12.00 tengahari. Maklumlah, umat Islam di Pulau Dewata ni hanya berjumlah lebih kurang 10% sahaja daripada keseluruhan penduduknya yang majoriti beragama Hindu-Buddha. Masjid Agung Al-A’la ni merupakan bangunan berstruktur dua tingkat tetapi ruangan solat utamanya adalah di tingakat atas. Sedangkan di tingkat bawah pula dijadikan ruang aktiviti anak kariah masjid. Waktu sembahyang jumaat, ruangan solat utama di tingkat atas tu pun tak penuh. Jam 12.00 tengahari beduk pun dipalu menandakan telah masuk waktu solat Jumaat. Terdengar bunyi beduk tu mengingatkan saya kepada zaman kanak-kanak dulu masa tinggal di kampung. Beduk dan Kerantung merupakan bahasa komunikasi utama untuk menyampaikan maklumat mengenai masuk waktu solat, kematian, waktu berbuka puasa, waktu sahur dan memanggil orang kampung untuk berkumpul kerana ada hal penting yang ingin disampaikan oleh ketua kampung. Paling meriah adalah sewaktu bulan puasa kerana pada masa ini kanak-kanak diberi peluang untuk bermain dengan kerantung atau beduk untuk suka-suka ataupun memanggil orang kampung untuk solat Terawih ataupun datang untuk makan moreh. Pun begitu, di kampung-kampung di Malaysia kini sudah jarang atau mungkin tidak terdapat lagi alat komunikasi yang pernah mencipta zaman kegemilangannya dalam kalangan masyarakat sebelum wujudnya teknologi maklumat canggih yang terkini. Tetapi di Bali, alat ini masih signifiken dalam masyarakatnya sebagai penyampai maklumat tidak kira Muslim ataupun hindu-buddha. Jadi, jangan terkeliru bila mendengar bunyi kerantung. Itu bukan tandanya masuk waktu solat. Tetapi di sini kerantung lazim digunakan ketika ingin memanggil penduduk kampung berkumpul untuk mewar-warkan perlaksanaan upacara mahupun aktiviti komuniti Hindu Bali.

PADANG TEGAL & KINTAMANI KU DATANGIMU…







17.4.09 [Jumaat] Usai sarapan kira-kira jam 8.00 pagi saya tidak melengahkan masa terus start speda motor untuk menjelajah lagi. Cadangan awal pergi ke Tegalalang sahaja untuk melihat pemandangan indah teresan sawah padi bukit sisa letusan gunung berapi yang terkenal itu. Memandangkan hari ni hari Jumaat jadi kena la balik awal sikit untuk pergi solat Jumaat pulak di kota Gianyar nanti. Tapi lebih kurang 20 minit bergerak dari Padang Tegal dah sampai Tegalalang. Waktu baru menunjukkan jam 8.20 pagi. Masih awal lagi dan kebetulan pulak pagi-pagi ni jalan lengang dan kedai barangan kerajinan di kiri-kanan jalan pun belum buka lagi. Lalu saya meneruskan perjalanan menuju ke Kintamani yang sangat kurindui itu. Saya pun tak pasti kenapa, tapi rasa semacam ada tarikan yang sangat menggamit emosi kerinduan. Itulah kelebihan Kintamani pada saya. Sebuah lokasi yang merupakan kawasan tanah tinggi di lerengan Gunung Berapi Batur yang indah dan megah itu. Di lembahnya terbentang tasik Batur yang mengairi tanaman yang hidup subur dibumbui tanah daripada lava letusan gunung berapi Batur ratusan tahun dahulu. Sampai di Kintamani baru jam 9.00 pagi tetapi jalannya sudah macet sebab orang ramai berbondong-bondong pergi dan balik dari pura Besakih sempena upacara Panca Bali Krama dan Kintamani merupakan pusat persimpangan jalan utama menuju ke Besakih. Nampaknya terpaksa batalkan dulu hajat untuk terus menuju ke Besakih hari ni. Saya bersantai-santai selam satu jam menghabiskan masa melepas rindu pada Kintamani yang telah diuliti dan dipendami sekian lama. Jam 10.00 pagi saya bergerak pulang ke Tegal Lalang. Di pertengahan jalan ketika menuruni lerengan gunung, saya singgah di gerai menjual buah-buahan yang ada di tepi jalan apabila terpandang sejenis lagi buah kegemaran saya iaitu Markisa. Ibu penjual tu letak harga sekilo RP15,000.00 [lebih kurang RM 5.00] sebab katanya sekarang bukan musim Markisa. Saya beli setengah kilo dan minta ibu kasi kurang sikit dan dapat harga RP 6,000.00 [lebih kurang RM 2.00] untuk setengah kilo tu. Kira ok la….

Thursday, April 16, 2009

Pesta Kesenian Bali XXXI 2009 - REHEARSAL

15.4.09 [Rabu] di sebelah petangnya saya keluar lagi kira-kira jam 2.55 petang dan terus menuju ke Masjid Agung Al-A’la di kota Ginyar lalu terus solat asar di sana. Tujuan saya ke kota Gianyar petang ni adalah untuk menyaksikan rehearsal persembahan untuk upacara perasmian Pesta Kesenian Bali XXXI 2009 bersempena hari jadi kota Gianyar ke-238 tahun yang akan dilaksanakan pada 17 April nanti. Lokasi berlangsungnya pesta tersebut adalah di padang bandaran (lapangan) kabupaten Gianyar. Ada bermacam-macam acara yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 17 April hingga 19 April tu sebenarnya. Ada pertandingan sukan, pertandingan kesenian, jualan dan acara yang macam funfair pun ada. Pendek kata nampak meriah la juga. Tapi petang ni belum bermula la semua tu, Cuma persiapannya sahaja yang dilakukan. Begitu juga dengan jualan dan pamerannya, masih belum bermula. Tapi tapak-tapak untuk acara tersebut sedang dipersiapkan. Pada petang 17 April nanti merupakan acara kemuncak dan perasmian sambutan hari jadi kota Gianyar ni. Saya pasti tidak melepaskan peluang untuk turut sama terlibat dalam acara ini walaupun hanya sebagai penonton. Nonton persembahan gratisss… lagiiii…

‘Panca Bali Krama’

Bercerita pasal jalan yang macet oleh sebab ada pelbagai acara yang berlangsung serentak dalam bulan April di seluruh pulau Dewata ni. Memang kebetulan sangat saya berada di sini pada waktu yang sangat sibuk dengan pelbagai upacara. Berkenaan dengan upacara ‘Panca Bali Krama’ yang saya sebutkan sebelum ni, ia hanya berlaku setiap 10 tahun sekali mengikut kalendar Bali yang terdapat 35 hari dalam sebulan. Pada tahun 2009 ini, ia berlaku bermula pada tanggal 1 April dan berakhir pada 27 April. Lokasinya adalah di Pura Besakih yang terletak di pinggiran Gunung Agung kerana menurut kepercayaan masyarakat Bali lokasi tersebut merupakan pusat dunia. Kewujudan dunia dikatakan bermula dari sini sehingga ia dianggap keramat. Upacara ini merupakan yang terbesar bagi masyarakat Bali sehingga seluruh penduduknya berbondong-bondong menuju ke pura Besakih sepanjang tarikh upacara tersebut berlangsung. Seluruh masyarakat provinsi Bali dari setiap kabupaten, kecamatan dan desa menuju ke lokasi yang sama. Menambahkan lagi kemeriahan suasana upacara dan perayaan, waktu berlangsungnya upacara ‘Panca Bali Krama’ ini juga serentak dengan upacara ‘Kajang Keliwon’ yang berlaku setiap 6 bulan sekali iaitu setiap 15 hari selepas berlangsungnya ‘Hari Kuningan’. Perbezaan ‘Panca Bali Krama’ dengan ‘Kajang Keliwon’ adalah dari segi kerumitan dan kerincian perlaksanaan upacara dan juga sajen yang perlu disediakan. Perlaksanaan upacara ‘Kajang Keliwon’ lebih sederhana dan sajen yang disediakan juga terdiri daripada haiwan korban yang lazim iaitu babi, ayam dan itik sahaja. Sedangkan upacara ‘Panca Bali Krama’ dilaksanakan dengan persiapan yang sangat rumit dan rinci. Sajennya pula haruslah mengorbankan haiwan dengan lebih banyak lagi iaitu dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya. Bagi melancarkan perlaksanaan upacara, setiap kabupaten ditugaskan untuk menguruskan bahagian-bahagian tertentu upacara di pura Besakih agar tidak ketinggalan walau satu ritual pun termasuklah penyediaan sajennya. Pada sebelah malamnya, pelbagai jenis persembahan kesenian diadakan sebagai pelengkap kepada perlaksanaan upacara ritual ‘Panca Bali Krama’. Antaranya adalah seperti persembahan Barong, Calonarang, Sanghyang Dedari, Sanghyang Djaran dan berbagai lagi. Semuanya tu adalah gratissss…. Walau bagaimanapun, sehingga sekarang saya masih belum berkesempatan untuk ke sana kerana jalanraya masih lagi macet. Menurut seorang pelancong mat salleh yang cuba untuk ke sana dengan menaiki motorsikal juga, telah berpatah balik ke Ubud dan menangguhkan dulu pemergian ke sana kerana kesesakan lalu lintas yang teruk itu.

Batu Bulan

15.4.09 [Rabu] pagi ni hujan bila saya dah bersiap-siap nak keluar sekitar jam 8.00 pagi. Tetapi tak lama lebih kurang setengah jam je dah berhenti. Saya pun start motor terus bergerak menuju ke Batu Bulan sebab masih lagi tak berkesempatan ke sana sejak datang ke Bali kali kedua dulu lagi. Hari ni saya nak gamble je ikut tanda arah jalan menuju ke sana. Orang kata boleh melalui Sukawati dan tak jauh dari situ dah sampai Batu Bulan. Memang iye pun, rupanya tak jauh dari Sukawati. Tapi jalan raya hari ni agak macet sebab banyak bas parawisata yang membawa berbondong-bondong penduduk seluruh bali menuju ke pura Besakih kerana sekarang adalah upacara perayaan ‘Panca Bali Krama’. Nantilah dalam entry khas akan sya ceritakan mengenai upacara ni. Di Batu Bulan ni dipenuhi dengan kedai menjual dan membikin barangan perak. Bermacam-macam jenis dan gaya ada, tinggal sediakan duitnye aje… memang begitulah kalau di Bali ni, setiap kecamatan dan desa itu mempunya hasil kerajinannya yang tersendiri seperti kerajinan perak di Batu Bulan ni. Kalau di desa Peliatan kerajinannya adalah ukiran kayu dan seni persembahan, di desa Padan Tegal pula kerajinannya adalah lukisan dan beaarbagai-bagai kerajinan lain lagi di desa dan kecamatan yang lain pula. Memang artistik sekali… Sampai di Batu Bulan ni hujan gerimis la plak tapi saya teruskan juga dan tidak berpatah balik melalui Sukawati lagi. Gerimis tu sekejap je lepas tu dah reda. Saya meneruskan perjalanan mengikut tanda arah dan akhirnya sampai semula di Ubud. Ooohhh mudah jeee……lebih dekat berbanding berpatah balik melalui Sukawati sebenarnya. Jadi, kalau nak mudah dan santai bergerak di Bali ni, sewalah motor sebab lebih mencabar dan menghiburkan menikmati suasana perkampungan nan indah di sepanjang perjalanan… sambil tu boleh beramah- tamah dengan penduduk kampung juga sebab kalau sesat jalan boleh berhenti tanya orang-orang yang ada di situ, Insyaallah… mereka akan menunjukkan jalan dengan ramah dan senang hati. Cuma tertibnya perlu dijaga iaitu kalau nak bertanya tu perlu buka topi keledar dulu, matikan enjin motor dan pasangkan tongkatnya, ucapkan selamat kepada orang yang ditanya dengan penuh sopan dan lemah-lembut. Kalau tidak mengikut tertib itu, mereka akan menjawab acuh tak acuh sahaja kerana mereka tidak suka orang yang terburu-buru. Ini nasihat yang saya terima daripada orang Bali sendiri kerana memang orang Bali ni lembah-lembut dan penyabar serta tidak suka teburu-buru dan tergesa-gesa. Cara hidup mereka sangat tenang tetapi teliti. Pun begitu, semua kerja dapat dibereskan dengan hasil yang menakjubkan. Yang paling jelas adalah dalam bidang pertanian dan kesenian. Mereka melakukannya dengan jiwa dan bukan dengan emosi semata-mata.

Monday, April 13, 2009

NONTON CALONARANG@BARONGAN

12.4.08 Ahad malam jam 8.30 pm saya pergi lagi menonton persembahan barongan di Pura Dalem, Peliatan. Biasalah kalau persembahan di pura ni adalah gratis. Saya datang jam 8.30 malam sedangkan persembahan telah bermula lebih awal iaitu jam 7.30 malam. Tidak seperti malam sebelmunya, persembahan malam ni diadakan di atas jalan raya yang dihiasi sedemikian rupa sehingga menjadi ruang persembahan dan meghadap pura. Jalan di hadapan pura itu ditutup untuk lalu lintas. Tidak seperti malam sebelumnya juga, persembahan malam ni lebih lama jangkamasanya. Bermula dari jam 7.30 malam hingga 10.00 malam yang diakhiri dengan tarian keris yang ada elemen kerasukan@kesurupan. Terdapat sebahagian daripada penari keris yang masih gagal dipulihkan setelah selesai persembahan lalu diusung oleh bomoh persembahan barongan ke dalam pura untuk disembahyangkan bagi memulihkannya. Bahagian awal ni kira macam ‘warming up’ sahaja. Kemudian berhenti rehat selepas tarian keris selesai dan disambung semula pada jam 10.45 malam dengan persembahan penuh barongan@calonarang sehingga jam 4.00 subuh. Tetapi saya tidak menunggu sampai subuh la sebab dah mengantuk dan balik sekitar jam 11.00 malam. Nasib baik balik awal sebab sewaktu tengah tidur kira-kira jam 1.00 subuh hujan lebat sangat dan saya terjaga kerana dentuman guruh yang sangat kuat dan bila diperiksa jam menunjukkan 1.00 subuh. Siangnya, saya tanyakan pada Pak Joni yang juga menonton persembahan tu jam berapa dia pulang. Katanya selepas hujan berhenti baru dia pulang. Waktu dia pulang tu persembahan disambung semula bila hujan telah reda. Maknanya persembahan berhenti bila hari hujan kerana ruang di atas jalan raya tu tak berbumbung. Maknanya persembahan tu mungkin selesai sekitar jam 4.00 subuh atau 5.00 subuh. Wahhh seruuuu sekaliiii…..

SUKAWATI


12.4.09 [Ahad] – jam 9.00 pagi start motor terus bergerak ke Sukawati yang terkenal itu untuk ‘window shopping’ dan jaan-jalan bagi mengenali lokasi melalui perjalanan bermotosikal je. Naik motor dari Padang Tegal ni tak lah lama sangat sekitar 20 minit je dengan kelajuan 40 hingga 50 KMJ. Di Pasar Seni Sukawati ni macam-macam ada dijual dengan harga yang sangat murah berbanding dengan barang yang sama yang di jual di Malaysia. Sekiranya datang di awal pagi ketika kedai baru buka dan juga ketika kedai akan tutup, harganya dapat ditawar dengan lebih murah lagi. Agak lama juga saya menghabiskan masa melihat-lihat di Pasar Seni ni sehingga jam 11 pagi baru selesai. Itu pun tidak sampai separuh daripada keluasan pasar seni tu yang habis ditinjau. Kepala saya jadi pening berpusing-pusing mengelilingi kedai sekitar dalaman dan luaran pasar seni tu. Kebanyakan barangan yang dijual adalah sama sahaja di setiap kedai tetapi daripada jenis yang pelbagai. Kepala saya juga pening disebabkan tidak terbiasa oleh bau colok yang dibakar di setiap kedai yang dilalui di dalam pasar seni tersebut untuk tujuan mereka bersembahyang. Akhirnya tiada apa-apa yang dibeli melainkan buah kegemaran saya sahaja iaitu buah salak. Di Bali ni buah salaknya memang sedap dan yang penting sangat murah. Sekilo boleh dapat harga sekitar RP 3,000 – RP 10,000 [lebih kurang RM1.00 – RM 3.00] tergantung kepada jenis buah dan kepandaian tawar-menawar.

Saturday, April 11, 2009

NONTON BARONG


Malam ketiga berada di Ubud ni pada awalnya tiada perancangan untuk menonton persembahan. Tetapi kebetulan pura Desa & puseh, Padang Tegal yang terletak sangat dekat dengan pegginapan saya, mengadakan persembahan barongan yang membawakan cerita lengkap. Persembahan ni diadakan di pura sebagai sebahagian daripada ritual sembahyang. Bermula pun agak lewat sikit kira-kira jam 9.00 malam dan berlangsung selama lebih kurang 3 jam. Kalau malam semalam persembahan di puri cuma berlangsung untuk 1 jam sahaja. Persembahan itu khas untuk tontonan pelancong jadi kena bayaran RP50,000. tapi persembahan barongan malam ni adalah gratis.... tuan punya hotel tempat saya menginap tu mengingatkan saya agar memakai pakaian untuk ke pura iaitu kain batik dan tanjak kepala sebab persembahan tu diadakan di pura. Pakaian tersebut adalah kostum yang piawai untuk acara pura. Kebetulan saya pun memang dah membeli kain batik dan tanjak kepala tu siang tadi. Asalnya saja nak beli, tapi rupanya boleh digunakan pulak....

MASJID AGUNG GIANYAR DAN MAKANAN HALAL


Telah hampir seminggu saya berada di pulau Bali ni tak terasa dah sampai hari Jumaat. Bila nak solat Jumaat tu agak susah juga nak cari masjid di sini. Lebih kurang sama la juga susahnya macam nak cari kedai makan yang menjual makanan halal. Masa mula sampai tempohari tidur dua malam di Kuta, di sebabkan kotanya agak besar maka ada beberapa pilihan untuk mendapatkan makanan halal. Tetapi bila di Ubud ni kena bergerak jauh sikit dan perlu juga berhati-hati. Bila nak bergerak tu cara yang paling mudah, cepat, santai dan jimat adalah dengan menyewa motosikal. Kedai makan yang lazimnya menjual makanan halal adalah restoran Minang atau Padang. Tetapi perlu diperhatikan juga pada logo restoran Minang dan Padang itu ada tanda ‘halal’. Sebab terdapat juga orang Bali yang membuka restoran Minang dan padang tetapi tida logo ‘halal’. Bila ditanya mengenai status halal mereka akan menjawab halal. Bila saya berbual dengan kakak yang berniaga restoran Minang, dia bagi tahu bahawa orang Bali tu tak faham mengenai konsep halal tu. Diaorang pakai tulis je… tetapi nak diapakan, sebab mereka juga bebas untuk menjual makanan Minang atau Padang. Untuk kepastian, sila tanya betul-betul dengan penjual tu sama ada mereka orang Bali atau berasal dari Minang atau Padang dan Muslim. Dalam kedai Muslim lazimnya ada ayat ‘Bismillah’ atau ayat suci lain ditampalkan. Tetapi di restoran orang Bali tiada benda tu semua sebaliknya ada ‘ancak’ sesembahan di sudut dinding kedai mereka.

Sebagaimana sukarnya mendapatkan makanan halal, begitulah juga untuk menunaikan solat jumaat di mesjid. Di Kuta saya tidak pasti di mana masjidnya kerana tidak pernah berada di sana sewaktu hari Jumaat. Tetapi Jumaat baru ni tadi saya berada di Ubud dan di sini memang tiada masjid. Hari Khamis, saya singgah di kedai bakso Muslim setelah lapar sangat tak jumpa kedai nasi halal. Lepas makan tu saya Tanya kat makcik tuan kedai tu di mana masjid terdekat. Mak cik tu kata ada di Gianyar sebab dia kata dia tinggal di sana. Lepas je makan tu, terus saya ke Gianyar dengan motor yang saya sewa mengikut tanda-tanda jalan yang tertulis. Alhamdulillah… selepas lebih kurang 20 minit perjalanan bermotor dengan kelajuan di antara 40 hingga 60 KMJ dari Ubud, sampailah saya di tengah kota Gianyar dan terpandanglah kubah hijau masjidnya yang terletak betul-betul di ‘town center’. Alhamdulillah…. Esok bolehlah saya menunaikan solat jumaat di sini…

NONTON KECAK



8.4.09 [Rabu] Sampai di Ubud dah tengahari dan terasa lapar sangat. Saya pun teringat restoran nasi Padang yang saya pernah makan dulu, terletak di ‘Monkey Forest Road’. Malangnya, bila sampai di situ, kedai tu dah tak ada lagi dan lokasi kedai tersebut sedang dilakukan projek pembinaan. Jenuh juga jalan kaki dari kediaman saya di Jalan Honam, Padang Tegal dan akhirnya berpatah balik ke penginapan dan berehat sambil makan bekalan biskut yang ada. Saya membuat temu janji dengan Pak Joni untuk bertemu esok pagi sahaja jam 10.00 am. Malamnya tidur awal sebab letih sangat…..


9.4.09 [Khamis] jam 9.00 pagi, Pak Joni dah tiba, awal satu jam dari waktu yang dijanjikan. Selepas berbual dan menghantar Pak Joni pulang, saya terus menyewa motor untuk kemudahan pengangkutan sepanjang di Ubud ni. Perkara pertama yang dilakukan adalah berusaha mencari restoran makanan halal. Pusing punya pusing saya terjumpa satu kedai Bakso halal dan makan lah bakso di situ.


Malam kedua berada di Ubud ni saya memenuhi awal malam dengan menonton persembahan kecak yang terkenal itu di puri Agung, Peliatan. Saya ditemani oleh bapak Joni yang juga merupakan instruktur tari di muzium Arma iaitu sebuah muzium swasta di Ubud. Di Bali ni kebanyakan muziumnya dikendalikan oleh pihak swasta di samping yang dikendalikan oleh pemerintah. Pada awalnya bapak Joni mengajak saya menonton persembahan kecak yang persembahannya diadakan di muzium Arma. Tetapi persembahan di situ bermula seawal jam 6.30 malam. Bila kami tiba pada jam 7.30 malam, persembahan telah pun selesai. Maka kami pergi pula ke puri Agung, Peliatan yang kebetulan bermula jam 7.30 malam.

BALI - KEMBALI DI SINI


6.4.09 [Isnin]- Dah lama tak datang ke Bali sejak Disember 2006 yang lalu dan sedar tak sedar dah ada di sini lagi. Duduk di Kuta dua malam sahaja di tempat penginapan biasa yang pernah diginapi masa ke mari dulu. Semasa berada di Kuta berkesempatan ke toko buku Gramedia untuk melihat buku-buku yang sesuai untuk dimiliki. Dulu ada satu cawangan Gramedia ni di Centro Mall tapi sekarang dah tak ada. Jadi kena la pergi ke ‘Matahari Galeria’ di Simpang Siur. Di sini terdapat toko buku Gramedia yang terbesar di Kuta. Membelilah beberapa buah buku yang berkenan di hati. Dalam Galleria ni terdapat sebuah kedai makan ‘halal’ terletak di ‘food court’, ‘ground floor’ dan nama restoran tu ‘MM Juice’ serta bertulis tanda ‘hallal’. Destinasi berikutnya ke Ubud pula dan akan menetap lama di sana. Insyaallah... maaf gambar tidak dapat disertakan dalam entry ini dan brikutnya kerana internet di Ubud ni slow sangat....alahai... Insyaallah bila dah balik Malaysia nanti akan dimuatkan gambar-gambarnya...

Thursday, April 2, 2009

PUSAT SENI SETEMPAT 2009

PEMENTASAN MAK YONG “Dewa Indera Indera Dewa” OLEH KUMPULAN MAK YONG SERI NILAM ISTANA BUDAYA sempena program PUSAT SENI SETEMPAT 2009 pada :04 April 2009 (Sabtu)masa : 8.45 malam tempat :Pentas Arena, Taman Budaya Negeri,KPWS, Lintang P.Ramlee, Pulau Pinang(RUMAH P.RAMLEE) Maklumat lanjut : 04-2817791/92 Masuk : Percuma


ATURCARA PUSAT SENI SETEMPAT 2009
4 APRIL 2009 (SABTU)
TAMAN BUDAYA NEGERI, PULAU PINANG


10.00 pagi -10.00malam:Gerai jualan

10.00 pagi – 5.00 petang:Demonstrasi Permainan Tradisional(Dam Aji/ gasing/ congkak/ batu seremban)

11.00 pagi – 1.00 tgh: Bengkel Mak Yong

2.00 – 3.00 petang:Sesi Latihan Tarian Oleh Kumpulan Kanak-kanak Warisan Jemari

3.00 – 4.00 petang:Persembahan Muzik Recycle Contemporary oleh St. Nicholas Home Penang

4.00 – 6.00 petang:Demonstrasi Seni Mempertahankan Diri (Silat/ silambam/ wushu)

6.00 – 6.30 petang:Senam Seni

9.00 – 10.00 malam:Persembahan Mak Yong “Dewa Indera Indera Dewa” oleh Kumpulan Mak Yong Seri Nilam Istana Budaya

TURUT MENGUNDANG:

PERSATUAN KERSANI MENJEMPUT BERAMAI-RAMAI KE PEMENTASAN TEATER "LAGU TU LAGU NI"ARAHAN RAZALI RIDZUAN PADA 11 & 12 /O4/2009JAM 8.45 MALAM KUPON RM5 BERTEMPAT DI AUDITORIUM P.RAMLEE TAMAN BUDAYA NEGERI KOMPLEKS PUSTAKA WARISAN SENI LOT 2180 LINTANG P.RAMLEE OFF JALAN P.RAMLEE 10460 PULAU PINANG TEMPAHAN/PERTANYAAN TEL: 604-2817791/92T/B: 0164872137 (HAMZAH)

Wednesday, April 1, 2009

Silang Budaya Integratif dalam 'Tiga Teater Muzikal'

Kesempatan untuk membicarakan karya terbaru Prof. Dr. Hatta Azad Khan ini amat mengujakan. Bertempat di Dewan Persidangan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM bertarikh 31 Mac 2003 telah diadakan 'Bicara Karya Sastera Negeri Pulau Pinang 2009'. Acara ini adalah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama USM membicarakan karya Prof Dr. Hatta Azad Khan [ALUMNI USM] yang telah menerima 'Anugerah Sea Write Award' tahun 2008. Saya telah diminta untuk membicarakan karya 'Tiga Teater Muzikal' yang di dalamnya mengandungi tiga karya Muzikal terkini Prof. Hatta iaitu 'Muzikal KL', 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' dan 'Semi Muzikal Ram'.



Oleh: Mohd Kipli bin Abdul Rahman

Silang budaya integratif dalam ‘Tiga Teater Muzikal’ berusaha mencerakinkan kepelbagaian isu yang berhubung kait dengan masyarakat Malaysia kontemporari. Isu falsafah dihadapkan dalam ‘Muzikal KL’ melalui pertentangan ideologi yang diwakili oleh watak-watak utamanya. Pengkarya menggunakan isu kemajuan dan pembangunan sebagai penggerak cerita dan perbezaan idoelogi diterjemahkan melalui watak allegorikal. ‘Muzikal PMPMTT’ bergerak dalam latar realisme untuk mengupas isu ‘realiti sosial’ yang motif utamanya adalah mengenai isu transparency (ketelusan) dalam masyarakat majmuk Malaysia. Teknik juktaposisi di antara kehidupan sebenar dan ‘ilusi-realiti pentas’ merupakan elemen silang budaya integratif yang diaplikasikan dengan wajar. Persoalan mengenai kewujudan diketengahkan melalui ‘Muzikal Ram’ yang menyentuh falsafah existentintialism dalam membicarakan isu mengenai jatidiri. Garapan karya menggunakan program ‘realiti’ yang semakin membudaya dalam masyarakat kini dalam usaha untuk mencari kebenaran diadun dengan baik. Ketiga-tiga karya mengeksploitasi elemen silang budaya dan integratif bagi menjelaskan realiti masyarakat majmuk Malaysia kontemporari. Kepelbagaian isu dikupas mencakupi politik, sosial, ekonomi, bahasa, budaya serta kesenian. Mesej utamanya adalah penyatuan dan perpaduan demi melestarikan pembangunan dan kemajuan yang seimbang dari aspek fizikal dan spiritual dalam acuan yang tersendiri.