Selepas solat Jumaat kira-kira jam 1.30 tenghari terasa lapar la pulak sebab belum makan tengahari lagi bagi mengelakkan mengantuk ketika mendengar khutbah Jumaat. Di luar masjid terdapat beberapa kereta sorong menjual bakso. Penjualnya adalah pemuda-pemuda Muslim dari pulau Lombok yang berhijrah ke Bali untuk mencari rezeki dengan berniaga kecil-kecilan. Saya singgah sekejap untuk makan bakso bagi melapik perut sebelum terjumpa kedai nasi halal. Saya tak bercadang nak balik ke hotel sebab jam 4.00 petang nanti merupakan upacara perasmian Hari Jadi kota Gianyar. Jadi, usai makan bakso yang berharga RP 4,000 [lebih kurang RM1.30] itu saya bersiar-siar dulu menelusuri kota Gianyar untuk memahami sistem jalanrayanya. Tup-tup… terjumpa kedai makan Padang Muslim tidak jauh dari lapangan Gianyar yang merupakan lokasi upacara perasmian nanti. Singgah la pulak makan nasi bagi memenuhi selera tengahari itu. Acara akan bermula jam 4.00 petang nanti, jadi sementara menunggu masa tu saya bersiar-siar di sekitar lapangan untuk upacara nanti. Selepas saya usai solat asar di Masjid Agung Aal-A’la barulah acara persamian bermula.
Sebanyak tujuh kecamatan dalam kabupaten Gianyar yang terlibat dalam acara persembahan perasmian ini iaitu Ubud, Sukawati, Batu Belah, Gianyar, Tampak Siring, Tegallalng dan Payangan. Acara dimulakan dengan ‘pawai’ atau perarakan di atas jalan raya utama kota Gianyar menuju ke pentas persembahan yang didirikan di sisi lapangan Gianyar. ‘Pawai’ dimulai dengan kumpulan jeputan dari Universiti Udayana, Denpasar. Apabila sampai sahaja di pentas acara peserta terus naik ke pentas dan membuat perembahan menghadap para tetamu kehormat. Setiap peserta dari kecamatan terlibat disertai oleh penari, pelakon, penyanyi, dalang dan pemuzik. Ke tujuh-tujuh kumpulan yang mewakili kecamatan masing-masing itu mempersembahkan persembahan berbentuk taridra dengan iringan muzik ‘live’ dan bukan persembahan tarian semata-mata. Kesemuanya menampilakan kepelbagain ragam kesenian Bali yang rinci dari segi tari, lakon, lagu dan muzik yang digembelingkan menjadi sebuah taridra dengan mengangkat akar tradisi sebagai asasnya. Sumber cerita pula digarap dari epik Ramayana dan Mahabhrata dengan sisipan mitos Bali. Pun begitu, turut dipalitkan sedikit modifikasi bagi memberikan nuansa kontemporari. Setiap kecamatan berusaha menampilkan keunikan dan keistimewaan tradisi kampung mereka melalui persembahan masing-masing. Acara penuh warna-warni itu berlangsung selama kira-kira 2 jam 30 minit dan dihadiri oleh orang-orang kenamaan Bali, sesungguhnya sangat menghiburkan dan memukau dengan spirit tradisional Bali yang jitu. Para peserta yang terlibat pula adalah terdiri daripada kanak-kanak seusia 4 tahun hingga 60 tahun. Kesemua komuniti saling bahu-membahu untuk menjayakan acara ini dengan semangat kerjasama berkumpulan yang memang telah mendarah-daging dalam jiwa masyarakat Bali. Melihat kepada acara persembahan tersebut, Bali masih berupaya melestarikn warisan kesenian tradisinya untuk dasawarsa mendatang.
No comments:
Post a Comment