PULAU PINANG, 15 Okt. 2012 – Walaupun
baru mencecah usia dua tahun, rangkaian ilmu Kearifan Tempatan yang dipelopor
Universiti Sains Malaysia (USM) kini bersedia untuk melebarkan sayap penerokaan
khazanah ilmu di peringkat Asean.
Kearifan tempaah adalah satu cabang ilmu
yang disimpulkan daripada pengalaman sebenar yang dialami dalam waktu yang
sangat panjang. Ilmu ini berakarkan kepada budaya tempatan dan umumnya
diterapkan ke dalam amalan masyarakat.
Naib Canselornya, Prof. Dato’ Omar Osman
berkata, usaha ke arah mengukuhkan peranan institusi pengajian tinggi dalam
mengangkat martabat ilmu-ilmu yang menjadi warisan bernilai tinggi itu akan
mula diperluaskan ke Asean mulai tahun depan.
Katanya, USM akan menggunapakai strategi
khusus dalam membentuk rangkaian tersebut, termasuk menjalin hubungan secara
langsung dengan rakan akademik dari luar negara untuk membangunkan ilmu
kearifan tempatan.
``Beberapa pensyarah USM kini sudah
memulakan inisiatif mencari rakan pintar dari luar negara termasuk di Indonesia
dan Thailand, yang turut diakui mempunyai khazanah ilmu yang tinggi dan boleh
diangkat serta dipelihara nilainya,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang
media selepas merasmikan Persidangan Serantau Kearifan Tempatan (PSKT) di
Jerejak Rainforest Resort, di sini hari ini.
Tambah beliau, rangkaian di peringkat
serantau itu akan berfungsi secara sistematik melalui kerangka yang membolehkan
universiti yang terlibat di luar negara diangkat sebagai sebuah Pusat
Kecemerlangan Ilmu Kearifan Tempatan.
``Pusat kecemerlangan itu pula akan
dikawal selia oleh Sekretariat Kearifan Tempatan USM. Dengan cara ini kita
dapat melebarkan pengaruh ilmu Kearifan Tempatan dengan efektif tanpa menelan
kos yang tinggi’’ ujar beliau.
Beliau turut berkata, PSKT yang pada
mulanya hanya satu usaha kecil yang dicetuskan oleh akademia USM kini sudah
mengorak langkah dengan cemerlang, selain turut mendapat perhatian kerajaan
melalui Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM).
Omar berkata, sehingga kini juga pihak
secretariat telah berjaya menerbitakan lima buah buku melalui pengajuran
persidangan pertama yang diadakan di Pulau Langkawi tahun lalui.
Katanya, buku-buku itu termasuk Meneliti
Khazanah Sastera, Bahasa dan Ilmu, Meneliti Kosmologi dan Adat Istiadat,
Berasal dari Akar, The Relevance of Science to Local Knowledge dan
Retracing Tradition for a Sustainable Future: The Malaysian Experience.
``Ini turut membuktikan bahawa
pensyarah-pensyarah kita mampu menjalankan tugas mereka di luar jangkaan
sekiranya diberi motivasi yang sesuai di bawah satu kerangka yang jelas dan
sistematik ,’’ ujarnya.
Tambah beliau USM dalam agendanya
membangunkan APEX (Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan) turut mengangkat ilmu
Kearifan Tempatan sebagai satu tonggak yang melewati batas penyelidikan dan akademik.
``USM turut memainkan peranan dalam
memastikan ilmu Kearifan Tempatan ini dapat menyumbang sesuatu kepada
pembangunan masyarakat dengan menggunapakai konsep pemindahan ilmu,’’ katanya.
Dalam pada itu, persidangan dua hari itu
menyaksikan pembentangan 107 kertas kerja meliputi pelbagai tajuk-tajuk di
bawah kerangka ilmu Kearifan Tempatan.
Dengan tema "Merekayasa Kearifan
Tempatan ke Arah Ilmu Baharu", persidangan itu bermatlamat untuk
mengenalpasti dan menggalur semula ilmu Kearifan Tempatan, selain menjadi
platform untuk menghasilkan penerbitan terkini yang dapat menjulang ilmu itu ke
persada lebih tinggi.
1 comment:
Salam bro, apa khabar? Ngapa x up date blog?
- sheikh mustafakamal alaziz
Post a Comment