
27.5.10 (Khamis)
8 pagi ambil sarapan yang disediakan oleh pihak hostel. Jam 9 pagi saya bergerak menuju ke stesen metro di Plaza Italia yang menjadi landmark bandar Santiago untuk ke stesen bas di mana terdapat kaunter pertukaran wang bagi menukar wang USD kepada Peso Chile. Santiago merupakan ibu negeri Chile yang dari segi sejarahnya ditemui oleh Pedro de Valdivia dalam tahun 1541 ekoran iklimnya yang sederhana serta lokasinya yang sesuai untuk pertahanan. Pada asalnya, ia hanya merupakan sebuah pekan kecil yang kemudiannya menjadi semakin besar sehingga tahun 1880-an. Walaupun begitu, gempa bumi yang berlaku dalam tahun 1985 telah meruntuhkan sebahagian daripada bangunan warisan yang mempunyai rekabentuk klasik. Kini, sebagai sebuah ibu negara, ia merupakan pusat kewangan utama bagi benua Latin serta ibu pejabat bagi pelbagai institusi perdagangan multinasional.

Plaza Italia ni pulak merupakan panduan untuk saya di Santiago ni sebab ia terletak berdekatan dengan hostel tempat saya menginap. Santiago ni juga merupakan pusat pendidikan utama dan terdapat banyak universiti yang didirikan di sini. Di sekitar Plaza Italia ini sahaja terdapat beberapa buah universiti yang antaranya Universidad de Chile, Universidad Andres Bello, Universidad Santiago, Universidad San Sabastian, Universidad Katholic dan beberapa buah lagi.

Setelah melakukan pertukaran wang, saya begerak menuju ke stesen bas domestik yang terletak bersebelahan dengan stesen bas antarabangsa untuk membeli tiket bas bagi menuju ke destinasi lawatan saya hari ini iaitu Valparaiso yang terkenal itu dengan kadar tambang sebanyak 6000 Peso Chile. Cuaca di Santiago hari ni agak berjerebu yang sedikit sebanyak menghadkan pemandangan walaupun tidak begitu ketara.

Perjalanan dari Santiago ke Valparaiso ni mengambil masa kira-kira 2 jam dengan menaiki bas yang jaraknya 120 kilometer dari Santiago.


Sesampainya sahaja di stesen bas Valparaiso saya terus berjalan kaki ke stesen metro yang terletak di pinggiran pantai lautan Pacific untuk menuju ke destinasi lawatan utama iaitu Puerto yang mengambil masa lebih kurang 5 minit sahaja untuk sampai.

Valparaiso atau lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Valpo merupakan kota pelabuhan yang dianugerahkan oleh UNESCO sebagai kota warisan dunia.



Bangunan dalam bandar warisan ini memiliki rekabentuk sejarah yang dibina di lereng-lereng bukit yang mempunyai kecuraman 45 darjah mengunjur dari pantai lautan Pasifik.





Kotanya juga dipenuhi dengan kediaman yang diwarnai dengan pelbagai warna yang kelihatan seolah-olah melekat di setiap bumbungnya sehingga ke puncak bukit.


Bagi menikmati sensasi bersiar-siar di kota warisan ini adalah dengan berjalan kaki dan juga menggunakan salah satu daripada 14 kereta kabel kuno yang menjadi kenderaan penduduk untuk menuju ke rumah mereka yang terletak di lereng dan puncak bukit itu.

Agak lama juga saya bersiar-siar di kota warisan Valparaiso ni sehingga lewat petang setelah berasa letih, saya memulakan langkah pulang.

No comments:
Post a Comment