English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

this widget by www.AllBlogTools.com

Saturday, April 11, 2009

BALI - KEMBALI DI SINI


6.4.09 [Isnin]- Dah lama tak datang ke Bali sejak Disember 2006 yang lalu dan sedar tak sedar dah ada di sini lagi. Duduk di Kuta dua malam sahaja di tempat penginapan biasa yang pernah diginapi masa ke mari dulu. Semasa berada di Kuta berkesempatan ke toko buku Gramedia untuk melihat buku-buku yang sesuai untuk dimiliki. Dulu ada satu cawangan Gramedia ni di Centro Mall tapi sekarang dah tak ada. Jadi kena la pergi ke ‘Matahari Galeria’ di Simpang Siur. Di sini terdapat toko buku Gramedia yang terbesar di Kuta. Membelilah beberapa buah buku yang berkenan di hati. Dalam Galleria ni terdapat sebuah kedai makan ‘halal’ terletak di ‘food court’, ‘ground floor’ dan nama restoran tu ‘MM Juice’ serta bertulis tanda ‘hallal’. Destinasi berikutnya ke Ubud pula dan akan menetap lama di sana. Insyaallah... maaf gambar tidak dapat disertakan dalam entry ini dan brikutnya kerana internet di Ubud ni slow sangat....alahai... Insyaallah bila dah balik Malaysia nanti akan dimuatkan gambar-gambarnya...

Thursday, April 2, 2009

PUSAT SENI SETEMPAT 2009

PEMENTASAN MAK YONG “Dewa Indera Indera Dewa” OLEH KUMPULAN MAK YONG SERI NILAM ISTANA BUDAYA sempena program PUSAT SENI SETEMPAT 2009 pada :04 April 2009 (Sabtu)masa : 8.45 malam tempat :Pentas Arena, Taman Budaya Negeri,KPWS, Lintang P.Ramlee, Pulau Pinang(RUMAH P.RAMLEE) Maklumat lanjut : 04-2817791/92 Masuk : Percuma


ATURCARA PUSAT SENI SETEMPAT 2009
4 APRIL 2009 (SABTU)
TAMAN BUDAYA NEGERI, PULAU PINANG


10.00 pagi -10.00malam:Gerai jualan

10.00 pagi – 5.00 petang:Demonstrasi Permainan Tradisional(Dam Aji/ gasing/ congkak/ batu seremban)

11.00 pagi – 1.00 tgh: Bengkel Mak Yong

2.00 – 3.00 petang:Sesi Latihan Tarian Oleh Kumpulan Kanak-kanak Warisan Jemari

3.00 – 4.00 petang:Persembahan Muzik Recycle Contemporary oleh St. Nicholas Home Penang

4.00 – 6.00 petang:Demonstrasi Seni Mempertahankan Diri (Silat/ silambam/ wushu)

6.00 – 6.30 petang:Senam Seni

9.00 – 10.00 malam:Persembahan Mak Yong “Dewa Indera Indera Dewa” oleh Kumpulan Mak Yong Seri Nilam Istana Budaya

TURUT MENGUNDANG:

PERSATUAN KERSANI MENJEMPUT BERAMAI-RAMAI KE PEMENTASAN TEATER "LAGU TU LAGU NI"ARAHAN RAZALI RIDZUAN PADA 11 & 12 /O4/2009JAM 8.45 MALAM KUPON RM5 BERTEMPAT DI AUDITORIUM P.RAMLEE TAMAN BUDAYA NEGERI KOMPLEKS PUSTAKA WARISAN SENI LOT 2180 LINTANG P.RAMLEE OFF JALAN P.RAMLEE 10460 PULAU PINANG TEMPAHAN/PERTANYAAN TEL: 604-2817791/92T/B: 0164872137 (HAMZAH)

Wednesday, April 1, 2009

Silang Budaya Integratif dalam 'Tiga Teater Muzikal'

Kesempatan untuk membicarakan karya terbaru Prof. Dr. Hatta Azad Khan ini amat mengujakan. Bertempat di Dewan Persidangan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM bertarikh 31 Mac 2003 telah diadakan 'Bicara Karya Sastera Negeri Pulau Pinang 2009'. Acara ini adalah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama USM membicarakan karya Prof Dr. Hatta Azad Khan [ALUMNI USM] yang telah menerima 'Anugerah Sea Write Award' tahun 2008. Saya telah diminta untuk membicarakan karya 'Tiga Teater Muzikal' yang di dalamnya mengandungi tiga karya Muzikal terkini Prof. Hatta iaitu 'Muzikal KL', 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' dan 'Semi Muzikal Ram'.



Oleh: Mohd Kipli bin Abdul Rahman

Silang budaya integratif dalam ‘Tiga Teater Muzikal’ berusaha mencerakinkan kepelbagaian isu yang berhubung kait dengan masyarakat Malaysia kontemporari. Isu falsafah dihadapkan dalam ‘Muzikal KL’ melalui pertentangan ideologi yang diwakili oleh watak-watak utamanya. Pengkarya menggunakan isu kemajuan dan pembangunan sebagai penggerak cerita dan perbezaan idoelogi diterjemahkan melalui watak allegorikal. ‘Muzikal PMPMTT’ bergerak dalam latar realisme untuk mengupas isu ‘realiti sosial’ yang motif utamanya adalah mengenai isu transparency (ketelusan) dalam masyarakat majmuk Malaysia. Teknik juktaposisi di antara kehidupan sebenar dan ‘ilusi-realiti pentas’ merupakan elemen silang budaya integratif yang diaplikasikan dengan wajar. Persoalan mengenai kewujudan diketengahkan melalui ‘Muzikal Ram’ yang menyentuh falsafah existentintialism dalam membicarakan isu mengenai jatidiri. Garapan karya menggunakan program ‘realiti’ yang semakin membudaya dalam masyarakat kini dalam usaha untuk mencari kebenaran diadun dengan baik. Ketiga-tiga karya mengeksploitasi elemen silang budaya dan integratif bagi menjelaskan realiti masyarakat majmuk Malaysia kontemporari. Kepelbagaian isu dikupas mencakupi politik, sosial, ekonomi, bahasa, budaya serta kesenian. Mesej utamanya adalah penyatuan dan perpaduan demi melestarikan pembangunan dan kemajuan yang seimbang dari aspek fizikal dan spiritual dalam acuan yang tersendiri.

Tuesday, March 24, 2009

MABUK MISTIKAL: SEMIOTIK METAFIZIK DALAM "KUDA KEPANG MABUK" (KKM)



Oleh: Mohd Kipli Bin Abdul Rahman

Penghasilan kajian ini bertolak daripada isu dan permasalahan yang menjadi tanda tanya bahawa benarkah wujud perkaitan di antara semiologi dan kajian bidang metafizik? Fenomena ini tidak terdapat dalam kajian ahli semiotik Barat terutamanya dalam kajian-kajian mereka terhadap 'performance theatre' yang tidak melibatkan unsur supernatural. Terdapat suatu andaian yang diungkapkan oleh Roland Barthes, dengan mempergunakan ataupun mengubah-suaikan kaedah Ferdinand de Saussure, bahawa proses penentuan makna dan signifikasi sudah memadai berdasarkan penelitian terhadap “hubungan yang bersifat 'triadic' (tiga hala)”, ataupun 'the associative total' dalam hubungan antara penanda, petanda dan makna. Dengan andaian tersebut, beliau menganggap bahawa pencarian makna bagi sesuatu tanda tidak memerlukan rujukan di luar daripada hubungan tiga hala yang sedia diperhatikan.

Tanggapan ini selaras dengan andaian yang agak terdahulu, yang menganggap bahawa sesebuah teks itu mempunyai autonomi dan wujudnya terpisah daripada penciptanya (pengarah atau bomoh). Tanggapan ini diperkuatkan pula oleh suatu aspek daripada kaedah semiotik yang menganggap khalayak atau pembaca, dalam situasi kekiniannya berhadapan dengan teks, mempunyai segala autoriti dan hak untuk menentukan makna bagi segala tanda yang ditonton atau dibacanya. Justeru, andaian-andaian yang disebutkan di atas dengan sendirinya (a) menafikan rujukan kepada kerangka rujukan di luar teks yang sedang dikaji secara kekinian. (b) Secara tidak langsung menafikan juga bahawa penghasilan sesuatu teks itu melibatkan dimensi-dimensi historikal yang terjalin melalui diri dan pengalaman pencipta (pengarah atau bomoh) teks. (c) Maka, secara tidak langsung juga, menolak peri pentingnya multiplicity of meanings (kepelbagaian makna) yang tersimpan dalam collective consciousness (kesedaran kolektif) masyarakat berkenaan.

Namun begitu, dalam Kuda Kepang Mabuk yang akan dirujuk sebagai KKM sahaja dalam huraian berikutnya, rujukan terhadap tanda dilakukan dengan turut meninjau hal-hal yang di luar daripada hubungan tiga hala. Justeru, kajian bidang metafizik memainkan peranan penting dalam membantu kajian semiologi. Terutamanya, untuk memahami dan menafsir makna daripada tanda-tanda yang terdapat dalam kod-kod persembahan yang digunakan. Kod-kod yang digunakan dalam persembahan tersebut adalah berbentuk simbolik. Ia mempunyai falsafah tersendiri yang merujuk kepada fahaman falsafah tradisional. Iaitu kepercayaan terhadap peranan alam ghaib dalam mempengaruhi kehidupan masyarakat pelakunya. Oleh sebab itu, sekiranya kajian semiologi digunakan untuk menganalisis persembahan ini, maka aspek metafizik, kosmologi dan ontologi harus dikaji bagi menafsirkan maknanya secara kognitif.

Seperkara lagi, adakah benar bahawa alam ghaib sangat berperanan dalam mempengaruhi penanggapan 'source' (sumber), 'transmitter' , 'signifier' (penanda), 'audience' (khalayak) dan 'signified' (petanda) dalam KKM? Hal ini timbul kerana, melalui temubual yang dilakukan, informan menjelaskan bahawa perkara-perkara pelik yang berlaku sewaktu persembahan dipengaruhi oleh makhluk ghaib (makhluk halus ). Pandangan yang dikemukakan tersebut bersesuaian dengan fahaman agama dan pandangan dunia orang Jawa yang berpegang kepada prinsip sangkan paraning dumadi iaitu “dari mana manusia berasal, apa dan siapa mereka pada masa kini dan ke mana manusia akan pergi”.

Dalam teori semiotik Barat yang digunakan bagi menganalisis 'performance theater' alam ghaib tersebut tidak wujud. Hal ini kerana, dalam performance theater yang lazim diamalkan di Barat, pengarah (sumber) menciptakan kod melalui imaginasinya. Walau bagaimanapun, dalam hal KKM, sumber (bomoh) tidak menggunakan imaginasinya semata-mata dalam mencipta, menyedia, memilih dan menyusun kod. Sebaliknya kod yang disediakan adalah atas kehendak atau tertakluk kepada alam ghaib. Hal ini dapat dijelaskan seperti berikut; iaitu sekiranya kod (sebagai contoh sajen) yang disediakan tidak menepati kehendak alam ghaib, maka fenomena mabuk (trance) dalam KKM tidak akan berlaku atau dikatakan gagal kerana tidak cukup syarat. Sedangkan elemen mabuk (trance) tersebut merupakan elemen yang sangat penting bagi mencirikan persembahan tersebut ialah KKM. Sehubungan dengan itu, beberapa working definition turut dikemukakan dalam kajian ini iaitu “Semiotik Metafizik”, “Kod Bersyarat”, “Kod Separuh Bersyarat”, “Kod Bebas”, “Kod Komunikasi Mistikal”, “Kod Istiadat” dan “Kod Kebatinan”, yang penjelasannya dihuraikan dalam bab-bab berikutnya. Jadi, objektif kajian ini ialah, pertamanya, untuk mengkaji makna persembahan KKM dengan menggunakan teori semiotik. Kedua, meninjau peranan alam ghaib dalam mempengerahui fenomena trance dalam persembahan KKM. Ketiga, untuk melihat bagaimana kod teatrikal persembahan sebagai medium komunikasi berperanan dalam perhubungan di antara alam fizikal dan alam metafizik.

Usaha yang dilakukan ini adalah untuk mencari makna persembahan KKM yang turut berhubungan dengan fenomena mabuk (trance). Sehubungan dengan itu, fokus turut dilakukan terhadap elemen alam ghaib (metafizik) yang mempengaruhi sumber, transmitter, penanda, khalayak dan petanda dalam persembahan KKM. Kajian ini melihat agama dan elemen kesucian yang mempercayai kewujudan alam ghaib dari perspektif yang universal. Rujukan tidak dihadkan kepada satu kepercayaan agama sahaja sebaliknya adalah pelbagai. Hal ini kerana, dalam analisis kajian kepelbagaian pengaruh kepercayaan daripada fahaman keagamaan yang berbeza turut ditinjau kerana fenomena tersebut turut mempengaruhi kewujudan bentuk persembahan KKM.

Selain daripada itu, tulisan ini juga turut melihat hubungan komunikasi di antara alam metafizik dengan alam fizikal melalui transmitter , penanda dan petanda yang terdapat dalam persembahan KKM. Theatre Sign System (Sistem Tanda Teater) dan Theatre Communication System (Sistem Komunikasi Teater) akan diaplikasikan sebagai alat penganalisisan kod-kod. Di samping itu, empat tahap makna (petanda) yang akan dikaji mengikut kaedah semiotik iaitu i) 'Cognitive meaning' (kognitif) ii) 'Emotional Meaning' (emosi) iii) 'Esthetic Meaning' (estetik) iv) 'Spiritual awareness meaning' (kesedaran kerohanian). Sementara makna-makna tersebut akan diperolehi melalui kajian terhadap dua jenis khalayak iaitu 'heterogeneous audience' dan 'homogenous audience' .

Kajian ini bertujuan untuk membuktikan bahawa elemen alam ghaib sangat berperanan dalam mempengaruhi penanggapan sumber, transmitter, penanda, khalayak dan petanda (terutamanya makna kognitif). Justeru, hal yang cuba dibuktikan di sini ialah, metafizik merupakan elemen yang tertinggal dalam teori semiotik Barat yang digunakan untuk mengkaji 'performance theatre' yang tidak melibatkan unsur supernatural. Hal ini kerana, mabuk dalam persembahan KKM adalah bersifat mistikal keagamaan. Elemen mabuk (trance) merupakan tanda pencapaian ke arah satu tahap kewujudan – rupa bentuk fizikal – perpindahan spiritual (level of existence – physical configuration – spiritual elevation).

*Buku ini sedang berada dalam pasaran dan boleh didapati di Kedai Koperasi USM dan kedai MPH terpilih di seluruh negara.

Sunday, March 15, 2009

PRODUKSI TEATER

Pusat Seni Universiti Sains Malaysia mempersembahkan 6 produksi teater yang dihasilkan oleh para pelajar tahun akhir untuk dinilai sebagai memenuhi syarat pengijazahan bagi yang membuat major Bfa Seni Halus (Lakonan & Pengarahan). Jadualnya adalah seperti berikut:

LAUT LEBIH INDAH DARI BULAN
15 DAN 16 MAC
PALENGGANG CAHAYA USM

HAMLET
17 DAN18 MAC
PANGGUNG SASARAN USM

NYONYA
19 DAN 20 MAC
PALENGGANG CAHAYA USM

NO EXIT
22 DAN 23 MAC
PANGGUNG SASARAN USM

SHAKUNTALA
24 DAN 25 MAC
PALENGGANG CAHAYA USM

SI BONGKOK TANJUNG PUTERI
28 DAN 29 MAC
PALENGGANG CAHAYA

#Semua persembahan bermula pada pukul 8.30 malam dan tiket berharga RM 5.oo seorang. Selamat menonton....

Thursday, January 15, 2009

INDAHNYA KEMBARA YANG SATU ITU....

Memori ringkas sewaktu kembara Haji di Tanah suci Disember 2008 - Januari 2009



Pandangan Kaabah dari tingkat atas Masjidil Haram. Sewaktu Menanti hari untuk wukuf di Padang Arafah.


Para jemaah bergerak meninggalkan Mekah untuk wukuf di Padang Arafah.


Ketika wukuf di Padang Arafah.


Sewaktu 'mabit' di Muzdalifah.


Mengutip batu di lereng bukit di Mina yang akan digunakan untuk melontar jamrah.


Mama berjalan pulang dari melontar Jamrah di Mina.


Suasana jemaah Malaysia di dalam khemah di Mina pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.


Di tingkat atas Masjidil Haram. Foto ini merupakan karya fotografi ibu saya yang pertama. Not bad...


Jabal Rahmah terletak di Arafah dan merupakan lokasi pertemuan Adam dan Hawa setelah lama terpisah apabila dicampakkan ke dunia dari syurga.


Tapak asal masjid Hudaibiah. Di sinilah berlangsungnya perjanjian hudaibiah di antara Rasulullah dan kaum musyrikin Mekah. Lokasi masjid ini terletak di tanah halal, jadi boleh memasang niat umrah di sini.


Tempat Saie dari bukit Safwa


Bukit Marwa


Masjid Quba di Madinah, salah satu daripada empat masjid yang perlu diziarahi iaitu Masjidil Haram di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Aqsa di Palestin (sekarang diduduki oleh Israel). Satu solat di masjid ini bersamaan dengan satu umrah.


Permakaman Baqi, impian setiap muslim untuk dimakamkan di sini kerana beroleh syafaat. InsyaAllah...


Bersama mama, berlatar belakangkan 'Jabal Uhud' yang merupakan lokasi berlakunya perang Uhud. Jabal Uhud itu berwarna kemerahan dan akan bertambah lagi merahnya apabila menjelang pentang menjemput senja. Menurut penduduk sini, warna kemerahan itu merupakan suatu ekspresi kerinduan Jabal Uhud terhadap para syuhada yang syahid sewaktu perang Uhud.


Masjid Nabawi yang didalamnya terdapat Raudah terletak dibawah kubah yang berwarna hijau itu.


Ruangan Raudah, tempat yang makbul doa.

'Tanah Haram' Kerinduanku Terikat Padamu...



Alhamdulillah.....7.1.09 yang lepas saya selamat tiba di KLIA pada jam 6.00am selepas melalui lebih kurang 8 jam penerbangan dari Madinah ke KLIA dengan pesawat Saudi Arabia penerbangan haji ke 83. Maka itu tamatlah kembara suci selama 41 hari berada di bumi Arab Saudi yang merangkumi dua buah 'Tanah Haram' iaitu Mekah dan Madinah.



Titisan airmata mengiringi saat-saat perpisan bersama kedua-duanya dengan doa dan harapan yang menggunung agar diberi lagi kesempatan oleh Allah untuk melabuhkan kaki di bumi suci yang penuh keberkatan itu. Jangkamasa 41 hari terasa sangat sekejap kerana masa seolah-olah bergerak dengan pantas. Subhanallah....keberadaan di Tanah Haram bagaikan suatu 'pengalaman estetik' yang penuh keindahan hingga menenggelamkan pengalaman masa dan waktu...