10.11.10 (Rabu)
Akhirnya selepas mengharungi penerbangan selam lebih kurang 13 jam, pesawat MAS pun mendarat di lapangan terbang Frankfurt-Am Main pada Jam 6.00 pagi waktu Jerman. Setibanya sahaja di lapangan terbang Frankfurt tu. Atas persetuajuan dengan beberapa rakan terus beli tiket berkumpulan untuk satu hari bagi menaiki train menuju ke kampus Goethe yang terletak di Bokhenheimer Warte.
Setibanya di sana, Dr. Rahimah (kak Imah) dan Dr. Rashidi (kedua-duanya pensyarah USM yang sedang melaksanakan Cuti Sabatikal mereka di sini) mempelawa kami untuk menyimpan beg di dalam pejabat mereka sambil terus mempelawa kami pergi sarapan pagi di kafe Turki berdekatan. Setelah berbual panjang kami pun bercadang untuk mencari hotel yang telah kami tempah melalui talian.
Saya dan Dr. Mijie menginap di hotel yang sama manakala Dr. Naza dan Nasha di hotel yang lain. Oleh sebab tiket kami dibeli secara berkumpulan maka kami harus bergerak bersama. Oleh sebab lokasi hotel saya lebih dekat maka kami semua bergerak menaiki metro menuju ke lokasi hotel Meinenger yang terletak di Messe.
Setelah mendaftar masuk, kami semua bergerak bersama sekali lagi ke lokasi hotel yang ditempah oleh Dr. Naza yang lokasinya agak jauh sedikit dan kami tersesat dalam hujan gerimis penghujung musum luruh untuk tiba di lokasi tersebut. Akhirnya, kami tidak sempat untuk mengikuti rombongan lawatan yang telah diaturkan oleh Prof. Arndt Graf yang bermula pada jam 3.00 petang. Saya dan Dr. Mijie mengambil metro untuk menuju semula ke hotel penginapan kami dan berehat menghilangkan lelah sehingga ke hari esok yang kerupakan hari permulaan seminar.....