
25.5.10 (Selasa)
Jam 5 pagi saya sudah terjaga daripada 'tidur-tidur ayam' sepanjang perjalanan dari Buenos Aires ke Mendoza ni. Jam 7.00 pagi penumpang dihidangkan dengan sarapan pagi dan terasa lega bila kopi panas masuk ke dalam perut terutamanya waktu-waktu dingin begini. Jam 9.30 pagi bas pun tiba di stesen Mendoza setelah melakukan perjalanan selama 14 jam. setibanya sahaja di dalam terminal bas saya terus menempah tiket bas dari syarikat CATA untuk ke Santiago, Chile esok pagi jam 10.30am dengan kadar tambang sebanyak 90 Peso.

Setelah membuat tempahan itu, saya terus bergerak ke hostel Lagares yang telah ditempah lebih awal dengan berjalan kaki sahaja kerana lokasinya tidak begitu jauh dari stesen bas yang mengambil masa kira-kira 10 minit. Setelah mendaftar masuk, saya berehat seketika untuk menghilangkan lelah serta mendapatkan sedikit tenaga. Selepas solat, saya keluar berjalan-jalan ke 'town square' untuk menikmati persekitaran.

Mendoza terletak di sebelah Barat Argentina dan bersempadan dengan Santiago, Chile yang terletak di sebelah pantai Barat benua Latin ni. Ia dikenali sebagai 'Oasis City' dan kotanya dikelilingi oleh banyak pepohonan. Mendoza terletak di kawasan lembah dan pergunungan Andes yang mengelilinginya menjadi latarbelakang lanskap kota ini. Dataran utama di sini ialah Plaza Independencia di mana terdapat banyak gerai-gerai cenderahati. Selain daripada itu, San Martin Park juga sangat terkenal kerana pelbagai acara pesta diraikan di sini.

Kebetulan sewaktu saya tiba di sini terdapat acara yang sedang berlangsung maka ramai orang berkumpul di San Martin Park sambil menyaksikan persembahan yang berlangsung di pentas yang terletak di tengah-tengah 'town square'. Berhadapan pentas terdapat banyak gerai makanan dan cenderahati dan orang ramai mengambil kesempatan in untuk duduk makan bersama keluarga di gerai-gerai yang disediakan itu.

Saya pun rasa lapar gak sebab sejak sarapan pagi di dalam bas pagi tadi, saya pun belum menjamah makanan apa pun lagi. Malangnya, saya masih gagal menemui gerai makanan yang menjual makanan yang halal dimakan kerana gerai-gerai makanan di sini tidak ada yang menjual ikan mahupun sayur. Saya meneruskan bersiar-siar di sekitar pekan Mendoza ni sehingga akhirnya menemui sebuah kedai makanan segera yang menjual menu makanan yang berasaskan ikan dan sayuran. Tanpa membuang masa saya terus memesan falafel yang berasaskan sayuran dan salad lalu menikmatinya sambil duduk santai di meja kedai yang terletak di kaki lima jalan.

Selesai makan saya teruskan bersiar-siar sekitar kota Mendoza walaupun banyak kedai yang tutup. Mungkin hari ni cuti umumnya agaknya di sini....dah penat tu saya bergerak pulang sehinggalah waktu Magrib baharulah saya tiba di hostel. Selepas membersihkan diri dan solat saya pun tidur untuk merehatkan diri sebelum meneruskan kembara keesokan harinya....
No comments:
Post a Comment