Segala catatan dalam ruangan ini merupakan ekspresi pengalaman peribadi yang empunya diri terhadap perkara yang dilalui sepanjang hijrah kehidupan, pengembaraan dan aktiviti performance sama ada yang diperhatiakan mahupun yang dihasilkan. Justeru, dengan penuh takzimnya dipohon agar segala kutipan yang diambil daripada catatan ini haruslah disandarkan kepada yang empunya diri dan sudah tentunya terlebih dahulu mendapat keizinan.
Thursday, April 16, 2009
‘Panca Bali Krama’
Bercerita pasal jalan yang macet oleh sebab ada pelbagai acara yang berlangsung serentak dalam bulan April di seluruh pulau Dewata ni. Memang kebetulan sangat saya berada di sini pada waktu yang sangat sibuk dengan pelbagai upacara. Berkenaan dengan upacara ‘Panca Bali Krama’ yang saya sebutkan sebelum ni, ia hanya berlaku setiap 10 tahun sekali mengikut kalendar Bali yang terdapat 35 hari dalam sebulan. Pada tahun 2009 ini, ia berlaku bermula pada tanggal 1 April dan berakhir pada 27 April. Lokasinya adalah di Pura Besakih yang terletak di pinggiran Gunung Agung kerana menurut kepercayaan masyarakat Bali lokasi tersebut merupakan pusat dunia. Kewujudan dunia dikatakan bermula dari sini sehingga ia dianggap keramat. Upacara ini merupakan yang terbesar bagi masyarakat Bali sehingga seluruh penduduknya berbondong-bondong menuju ke pura Besakih sepanjang tarikh upacara tersebut berlangsung. Seluruh masyarakat provinsi Bali dari setiap kabupaten, kecamatan dan desa menuju ke lokasi yang sama. Menambahkan lagi kemeriahan suasana upacara dan perayaan, waktu berlangsungnya upacara ‘Panca Bali Krama’ ini juga serentak dengan upacara ‘Kajang Keliwon’ yang berlaku setiap 6 bulan sekali iaitu setiap 15 hari selepas berlangsungnya ‘Hari Kuningan’. Perbezaan ‘Panca Bali Krama’ dengan ‘Kajang Keliwon’ adalah dari segi kerumitan dan kerincian perlaksanaan upacara dan juga sajen yang perlu disediakan. Perlaksanaan upacara ‘Kajang Keliwon’ lebih sederhana dan sajen yang disediakan juga terdiri daripada haiwan korban yang lazim iaitu babi, ayam dan itik sahaja. Sedangkan upacara ‘Panca Bali Krama’ dilaksanakan dengan persiapan yang sangat rumit dan rinci. Sajennya pula haruslah mengorbankan haiwan dengan lebih banyak lagi iaitu dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya. Bagi melancarkan perlaksanaan upacara, setiap kabupaten ditugaskan untuk menguruskan bahagian-bahagian tertentu upacara di pura Besakih agar tidak ketinggalan walau satu ritual pun termasuklah penyediaan sajennya. Pada sebelah malamnya, pelbagai jenis persembahan kesenian diadakan sebagai pelengkap kepada perlaksanaan upacara ritual ‘Panca Bali Krama’. Antaranya adalah seperti persembahan Barong, Calonarang, Sanghyang Dedari, Sanghyang Djaran dan berbagai lagi. Semuanya tu adalah gratissss…. Walau bagaimanapun, sehingga sekarang saya masih belum berkesempatan untuk ke sana kerana jalanraya masih lagi macet. Menurut seorang pelancong mat salleh yang cuba untuk ke sana dengan menaiki motorsikal juga, telah berpatah balik ke Ubud dan menangguhkan dulu pemergian ke sana kerana kesesakan lalu lintas yang teruk itu.
Batu Bulan
15.4.09 [Rabu] pagi ni hujan bila saya dah bersiap-siap nak keluar sekitar jam 8.00 pagi. Tetapi tak lama lebih kurang setengah jam je dah berhenti. Saya pun start motor terus bergerak menuju ke Batu Bulan sebab masih lagi tak berkesempatan ke sana sejak datang ke Bali kali kedua dulu lagi. Hari ni saya nak gamble je ikut tanda arah jalan menuju ke sana. Orang kata boleh melalui Sukawati dan tak jauh dari situ dah sampai Batu Bulan. Memang iye pun, rupanya tak jauh dari Sukawati. Tapi jalan raya hari ni agak macet sebab banyak bas parawisata yang membawa berbondong-bondong penduduk seluruh bali menuju ke pura Besakih kerana sekarang adalah upacara perayaan ‘Panca Bali Krama’. Nantilah dalam entry khas akan sya ceritakan mengenai upacara ni. Di Batu Bulan ni dipenuhi dengan kedai menjual dan membikin barangan perak. Bermacam-macam jenis dan gaya ada, tinggal sediakan duitnye aje… memang begitulah kalau di Bali ni, setiap kecamatan dan desa itu mempunya hasil kerajinannya yang tersendiri seperti kerajinan perak di Batu Bulan ni. Kalau di desa Peliatan kerajinannya adalah ukiran kayu dan seni persembahan, di desa Padan Tegal pula kerajinannya adalah lukisan dan beaarbagai-bagai kerajinan lain lagi di desa dan kecamatan yang lain pula. Memang artistik sekali… Sampai di Batu Bulan ni hujan gerimis la plak tapi saya teruskan juga dan tidak berpatah balik melalui Sukawati lagi. Gerimis tu sekejap je lepas tu dah reda. Saya meneruskan perjalanan mengikut tanda arah dan akhirnya sampai semula di Ubud. Ooohhh mudah jeee……lebih dekat berbanding berpatah balik melalui Sukawati sebenarnya. Jadi, kalau nak mudah dan santai bergerak di Bali ni, sewalah motor sebab lebih mencabar dan menghiburkan menikmati suasana perkampungan nan indah di sepanjang perjalanan… sambil tu boleh beramah- tamah dengan penduduk kampung juga sebab kalau sesat jalan boleh berhenti tanya orang-orang yang ada di situ, Insyaallah… mereka akan menunjukkan jalan dengan ramah dan senang hati. Cuma tertibnya perlu dijaga iaitu kalau nak bertanya tu perlu buka topi keledar dulu, matikan enjin motor dan pasangkan tongkatnya, ucapkan selamat kepada orang yang ditanya dengan penuh sopan dan lemah-lembut. Kalau tidak mengikut tertib itu, mereka akan menjawab acuh tak acuh sahaja kerana mereka tidak suka orang yang terburu-buru. Ini nasihat yang saya terima daripada orang Bali sendiri kerana memang orang Bali ni lembah-lembut dan penyabar serta tidak suka teburu-buru dan tergesa-gesa. Cara hidup mereka sangat tenang tetapi teliti. Pun begitu, semua kerja dapat dibereskan dengan hasil yang menakjubkan. Yang paling jelas adalah dalam bidang pertanian dan kesenian. Mereka melakukannya dengan jiwa dan bukan dengan emosi semata-mata.
Monday, April 13, 2009
NONTON CALONARANG@BARONGAN
12.4.08 Ahad malam jam 8.30 pm saya pergi lagi menonton persembahan barongan di Pura Dalem, Peliatan. Biasalah kalau persembahan di pura ni adalah gratis. Saya datang jam 8.30 malam sedangkan persembahan telah bermula lebih awal iaitu jam 7.30 malam. Tidak seperti malam sebelmunya, persembahan malam ni diadakan di atas jalan raya yang dihiasi sedemikian rupa sehingga menjadi ruang persembahan dan meghadap pura. Jalan di hadapan pura itu ditutup untuk lalu lintas. Tidak seperti malam sebelumnya juga, persembahan malam ni lebih lama jangkamasanya. Bermula dari jam 7.30 malam hingga 10.00 malam yang diakhiri dengan tarian keris yang ada elemen kerasukan@kesurupan. Terdapat sebahagian daripada penari keris yang masih gagal dipulihkan setelah selesai persembahan lalu diusung oleh bomoh persembahan barongan ke dalam pura untuk disembahyangkan bagi memulihkannya. Bahagian awal ni kira macam ‘warming up’ sahaja. Kemudian berhenti rehat selepas tarian keris selesai dan disambung semula pada jam 10.45 malam dengan persembahan penuh barongan@calonarang sehingga jam 4.00 subuh. Tetapi saya tidak menunggu sampai subuh la sebab dah mengantuk dan balik sekitar jam 11.00 malam. Nasib baik balik awal sebab sewaktu tengah tidur kira-kira jam 1.00 subuh hujan lebat sangat dan saya terjaga kerana dentuman guruh yang sangat kuat dan bila diperiksa jam menunjukkan 1.00 subuh. Siangnya, saya tanyakan pada Pak Joni yang juga menonton persembahan tu jam berapa dia pulang. Katanya selepas hujan berhenti baru dia pulang. Waktu dia pulang tu persembahan disambung semula bila hujan telah reda. Maknanya persembahan berhenti bila hari hujan kerana ruang di atas jalan raya tu tak berbumbung. Maknanya persembahan tu mungkin selesai sekitar jam 4.00 subuh atau 5.00 subuh. Wahhh seruuuu sekaliiii…..
SUKAWATI

12.4.09 [Ahad] – jam 9.00 pagi start motor terus bergerak ke Sukawati yang terkenal itu untuk ‘window shopping’ dan jaan-jalan bagi mengenali lokasi melalui perjalanan bermotosikal je. Naik motor dari Padang Tegal ni tak lah lama sangat sekitar 20 minit je dengan kelajuan 40 hingga 50 KMJ. Di Pasar Seni Sukawati ni macam-macam ada dijual dengan harga yang sangat murah berbanding dengan barang yang sama yang di jual di Malaysia. Sekiranya datang di awal pagi ketika kedai baru buka dan juga ketika kedai akan tutup, harganya dapat ditawar dengan lebih murah lagi. Agak lama juga saya menghabiskan masa melihat-lihat di Pasar Seni ni sehingga jam 11 pagi baru selesai. Itu pun tidak sampai separuh daripada keluasan pasar seni tu yang habis ditinjau. Kepala saya jadi pening berpusing-pusing mengelilingi kedai sekitar dalaman dan luaran pasar seni tu. Kebanyakan barangan yang dijual adalah sama sahaja di setiap kedai tetapi daripada jenis yang pelbagai. Kepala saya juga pening disebabkan tidak terbiasa oleh bau colok yang dibakar di setiap kedai yang dilalui di dalam pasar seni tersebut untuk tujuan mereka bersembahyang. Akhirnya tiada apa-apa yang dibeli melainkan buah kegemaran saya sahaja iaitu buah salak. Di Bali ni buah salaknya memang sedap dan yang penting sangat murah. Sekilo boleh dapat harga sekitar RP 3,000 – RP 10,000 [lebih kurang RM1.00 – RM 3.00] tergantung kepada jenis buah dan kepandaian tawar-menawar.
Saturday, April 11, 2009
NONTON BARONG

Malam ketiga berada di Ubud ni pada awalnya tiada perancangan untuk menonton persembahan. Tetapi kebetulan pura Desa & puseh, Padang Tegal yang terletak sangat dekat dengan pegginapan saya, mengadakan persembahan barongan yang membawakan cerita lengkap. Persembahan ni diadakan di pura sebagai sebahagian daripada ritual sembahyang. Bermula pun agak lewat sikit kira-kira jam 9.00 malam dan berlangsung selama lebih kurang 3 jam. Kalau malam semalam persembahan di puri cuma berlangsung untuk 1 jam sahaja. Persembahan itu khas untuk tontonan pelancong jadi kena bayaran RP50,000. tapi persembahan barongan malam ni adalah gratis.... tuan punya hotel tempat saya menginap tu mengingatkan saya agar memakai pakaian untuk ke pura iaitu kain batik dan tanjak kepala sebab persembahan tu diadakan di pura. Pakaian tersebut adalah kostum yang piawai untuk acara pura. Kebetulan saya pun memang dah membeli kain batik dan tanjak kepala tu siang tadi. Asalnya saja nak beli, tapi rupanya boleh digunakan pulak....
MASJID AGUNG GIANYAR DAN MAKANAN HALAL

Telah hampir seminggu saya berada di pulau Bali ni tak terasa dah sampai hari Jumaat. Bila nak solat Jumaat tu agak susah juga nak cari masjid di sini. Lebih kurang sama la juga susahnya macam nak cari kedai makan yang menjual makanan halal. Masa mula sampai tempohari tidur dua malam di Kuta, di sebabkan kotanya agak besar maka ada beberapa pilihan untuk mendapatkan makanan halal. Tetapi bila di Ubud ni kena bergerak jauh sikit dan perlu juga berhati-hati. Bila nak bergerak tu cara yang paling mudah, cepat, santai dan jimat adalah dengan menyewa motosikal. Kedai makan yang lazimnya menjual makanan halal adalah restoran Minang atau Padang. Tetapi perlu diperhatikan juga pada logo restoran Minang dan Padang itu ada tanda ‘halal’. Sebab terdapat juga orang Bali yang membuka restoran Minang dan padang tetapi tida logo ‘halal’. Bila ditanya mengenai status halal mereka akan menjawab halal. Bila saya berbual dengan kakak yang berniaga restoran Minang, dia bagi tahu bahawa orang Bali tu tak faham mengenai konsep halal tu. Diaorang pakai tulis je… tetapi nak diapakan, sebab mereka juga bebas untuk menjual makanan Minang atau Padang. Untuk kepastian, sila tanya betul-betul dengan penjual tu sama ada mereka orang Bali atau berasal dari Minang atau Padang dan Muslim. Dalam kedai Muslim lazimnya ada ayat ‘Bismillah’ atau ayat suci lain ditampalkan. Tetapi di restoran orang Bali tiada benda tu semua sebaliknya ada ‘ancak’ sesembahan di sudut dinding kedai mereka.
Sebagaimana sukarnya mendapatkan makanan halal, begitulah juga untuk menunaikan solat jumaat di mesjid. Di Kuta saya tidak pasti di mana masjidnya kerana tidak pernah berada di sana sewaktu hari Jumaat. Tetapi Jumaat baru ni tadi saya berada di Ubud dan di sini memang tiada masjid. Hari Khamis, saya singgah di kedai bakso Muslim setelah lapar sangat tak jumpa kedai nasi halal. Lepas makan tu saya Tanya kat makcik tuan kedai tu di mana masjid terdekat. Mak cik tu kata ada di Gianyar sebab dia kata dia tinggal di sana. Lepas je makan tu, terus saya ke Gianyar dengan motor yang saya sewa mengikut tanda-tanda jalan yang tertulis. Alhamdulillah… selepas lebih kurang 20 minit perjalanan bermotor dengan kelajuan di antara 40 hingga 60 KMJ dari Ubud, sampailah saya di tengah kota Gianyar dan terpandanglah kubah hijau masjidnya yang terletak betul-betul di ‘town center’. Alhamdulillah…. Esok bolehlah saya menunaikan solat jumaat di sini…
NONTON KECAK

8.4.09 [Rabu] Sampai di Ubud dah tengahari dan terasa lapar sangat. Saya pun teringat restoran nasi Padang yang saya pernah makan dulu, terletak di ‘Monkey Forest Road’. Malangnya, bila sampai di situ, kedai tu dah tak ada lagi dan lokasi kedai tersebut sedang dilakukan projek pembinaan. Jenuh juga jalan kaki dari kediaman saya di Jalan Honam, Padang Tegal dan akhirnya berpatah balik ke penginapan dan berehat sambil makan bekalan biskut yang ada. Saya membuat temu janji dengan Pak Joni untuk bertemu esok pagi sahaja jam 10.00 am. Malamnya tidur awal sebab letih sangat…..

9.4.09 [Khamis] jam 9.00 pagi, Pak Joni dah tiba, awal satu jam dari waktu yang dijanjikan. Selepas berbual dan menghantar Pak Joni pulang, saya terus menyewa motor untuk kemudahan pengangkutan sepanjang di Ubud ni. Perkara pertama yang dilakukan adalah berusaha mencari restoran makanan halal. Pusing punya pusing saya terjumpa satu kedai Bakso halal dan makan lah bakso di situ.

Malam kedua berada di Ubud ni saya memenuhi awal malam dengan menonton persembahan kecak yang terkenal itu di puri Agung, Peliatan. Saya ditemani oleh bapak Joni yang juga merupakan instruktur tari di muzium Arma iaitu sebuah muzium swasta di Ubud. Di Bali ni kebanyakan muziumnya dikendalikan oleh pihak swasta di samping yang dikendalikan oleh pemerintah. Pada awalnya bapak Joni mengajak saya menonton persembahan kecak yang persembahannya diadakan di muzium Arma. Tetapi persembahan di situ bermula seawal jam 6.30 malam. Bila kami tiba pada jam 7.30 malam, persembahan telah pun selesai. Maka kami pergi pula ke puri Agung, Peliatan yang kebetulan bermula jam 7.30 malam.
Subscribe to:
Posts (Atom)