Figura Nelson Mandela, Lapangan Terbang Johannesburg
16.5.2010 (Sabtu)Seperti tahun-tahun sebelumnya, pertengahan tahun ini juga tetap diisi dengan hijrah sunat yang sentiasa mengujakan. Kembara kali ini membawa saya menuju ke Amerika Selatan pula dengan pesawat Malaysian Airlines yang tiketnya telah pun ditempah sejak Disember 2009 lagi. Jam 10.40 malam saya telah tiba di KLIA untuk mendaftar masuk dengan pesawat MAS yang jam berlepasnya pada pukul 1.30 pagi waktu Malaysia. Penerbangan menuju ke transit pertama di Johannesburg, Afrika Selatan mengambil masa selama 10 jam. Tiba di sini pada jam 5.30 pagi waktu tempatan. Waktu di Malaysia bersamaan dengan jam 11.30 pagi.
Lapangan Terbang Johannesburg
Waktu Johannesburg lewat 6 jam dari waktu Malaysia. Transit di sini selama lebih kurang 2 jam 30 minit sebelum menaiki pesawat yang sama semula untuk meneruskan penerbangan ke lokasi transit yang kedua iaitu Cape Town yang juga merupakan salah satu bandar yang terletak di dalam Afrika Selatan. Penerbangan dari Johannesburg ke Cape Town berlepas pada jam 8.00 pagi (waktu tempatan) dan tidaklah mengambil masa yang lama hanya kira-kira 1 jam 40 minit sahaja di udara.
Lapangan Terbang Cape Town
Tiba di Cape Town jam 9.40 pagi, saya sekali lagi turun dari perut pesawat untuk melonggarkan otot-otot yang telah lama dalam posisi duduk dengan bersiar-siar di persekitaran dalaman lapangan terbang Cape Town ini. Suasana di kedua-dua lapangan terbang Afrika Selatan ini sangat meriah kerana waktu ni merupakan kemuncak demam bola piala dunia di mana Afrika Setelah menjadi tuan rumah pada tahun 2010.
Setelah hampir 1 jam 30 minit, saya mendaftar masuk ke dalam pesawat semula untuk meneruskan penerbangan ke destinasi yang dituju iaitu Buenos Aires, Argentina. Setelash masuk ke dalam pesawat, saya dan penumpang lain menunggu agak lama juga baharulah pesawat mula bergerak lalu berlepas meninggalkan Cape Town pada jam 11 pagi. Sekali lagi penerbangan ini mengambil masa yang relatifnya lama juga iaitu kira-kira selama 8 jam 50 minit merentasi lautan yang memisahkan Benua Afrika dan benua Amerika Selatan. Setelah mengharungi perjalanan yang agak lama iaitu kira-kira 25 jam akhirnya saya tiba juga di Buenos Aires pada jam 3.30 petang waktu tempatan dan waktu di Malaysia pula bersamaan dengan jam 2.30 pagi. Waktu Argentina lewat 11 Jam dari waktu Malaysia. Alhamdulillah....
Terasa diberkati..., ketibaan saya di bumi Argentina ini disambut dengan hujan yang relatifnya lebat tetapi amat menyamankan. Seperti dengan perubahan musim yang berlaku di negara-negara atmosfera selatan yang lain, Argentina pada waktu ini mengalami perubahan musim dari musim luruh ke musim dingin. Jadi, pada waktu saya tiba, musimnya berada di penghujung musim luruh. Jadi perjalanan saya dari lapangan terbang ke Gardenhouse hostel diiringi oleh hujan yang nyaman walaupun menghadkan pemandangan. Gardenhouse hostel yang terletak di San Juan telah pun ditempah lebih awal dan perjalanan ke sini dari lapangan terbang dengan menaiki teksi mengambil masa kira-kira 40 minit dengan kadar tambang sebanyak 37 peso (lebih kurang RM36 kerana nilai matawang Peso Argentina hampir sama dengan Malaysia walaupun RM lebih kukuh sedikit berbanding Peso....
Segala catatan dalam ruangan ini merupakan ekspresi pengalaman peribadi yang empunya diri terhadap perkara yang dilalui sepanjang hijrah kehidupan, pengembaraan dan aktiviti performance sama ada yang diperhatiakan mahupun yang dihasilkan. Justeru, dengan penuh takzimnya dipohon agar segala kutipan yang diambil daripada catatan ini haruslah disandarkan kepada yang empunya diri dan sudah tentunya terlebih dahulu mendapat keizinan.
Monday, May 24, 2010
Tuesday, May 4, 2010
Nostalgia Pertemuan
Minggu ni agak sibuk dengan urusan yang tidak dijangka-jangka namun dalam kesibukan itu saya mengagahkan diri untuk mengemaskan barangan lama yang berserakan. Dalam berkemas-kemas tu terjumpa pulak diari lama yang pernah dimiliki ketika zaman remaja dahulu. Diari tu ditulis pada tahun 1988 dan diakhir kalamnya tercoret sebuah luahan rasa saya sendiri. Tetapi tidak pasti pulak untuk mengkategorikan genrenya samada puisi ke, sajak ke, atau apa ke!.... Pun begitu, yang nyatanya kalam tersebut merupakan luahan ekspresi pada waktu itu dalam bahasa yang sedikit bermadah dan melankolik. Sesuailah dengan nada luahan hati agaknya..... Luahan ini telah pun saya tulis pada 12.12.1988 seperti yang tercatat di hujung diari tu dengan tajuknya:
"SEBUAH PERTEMUAN"
Di balik senyumku
tersimpan sebuah rindu
di balik tawaku
berkocak kolam rasa
oleh lontaran kasihmu
di pinggiran pantai hati
terserlah simfoni merdu
yang kian menggamit
pada penjuru sulit jantungku
camar-camar putih berterbangan
menghiasi alam jiwa
warna-warna pelangi megah bersinar
merentangi benua rasa
dalam lingkungan garisan keriaan
diiringi tebaran sayap waktu
aku sujud pasrah dalam syahdu
menghumbankan nostalgia rinduku
pada bibit-bibit pertama
terciptanya
sebuah pertemuan.....
Nukilan rasa:
mohd kipli abdul rahman
Kuala Lumpur 12.12.88
"SEBUAH PERTEMUAN"
Di balik senyumku
tersimpan sebuah rindu
di balik tawaku
berkocak kolam rasa
oleh lontaran kasihmu
di pinggiran pantai hati
terserlah simfoni merdu
yang kian menggamit
pada penjuru sulit jantungku
camar-camar putih berterbangan
menghiasi alam jiwa
warna-warna pelangi megah bersinar
merentangi benua rasa
dalam lingkungan garisan keriaan
diiringi tebaran sayap waktu
aku sujud pasrah dalam syahdu
menghumbankan nostalgia rinduku
pada bibit-bibit pertama
terciptanya
sebuah pertemuan.....
Nukilan rasa:
mohd kipli abdul rahman
Kuala Lumpur 12.12.88
Subscribe to:
Posts (Atom)