Segala catatan dalam ruangan ini merupakan ekspresi pengalaman peribadi yang empunya diri terhadap perkara yang dilalui sepanjang hijrah kehidupan, pengembaraan dan aktiviti performance sama ada yang diperhatiakan mahupun yang dihasilkan. Justeru, dengan penuh takzimnya dipohon agar segala kutipan yang diambil daripada catatan ini haruslah disandarkan kepada yang empunya diri dan sudah tentunya terlebih dahulu mendapat keizinan.
Tuesday, March 24, 2009
MABUK MISTIKAL: SEMIOTIK METAFIZIK DALAM "KUDA KEPANG MABUK" (KKM)
Oleh: Mohd Kipli Bin Abdul Rahman
Penghasilan kajian ini bertolak daripada isu dan permasalahan yang menjadi tanda tanya bahawa benarkah wujud perkaitan di antara semiologi dan kajian bidang metafizik? Fenomena ini tidak terdapat dalam kajian ahli semiotik Barat terutamanya dalam kajian-kajian mereka terhadap 'performance theatre' yang tidak melibatkan unsur supernatural. Terdapat suatu andaian yang diungkapkan oleh Roland Barthes, dengan mempergunakan ataupun mengubah-suaikan kaedah Ferdinand de Saussure, bahawa proses penentuan makna dan signifikasi sudah memadai berdasarkan penelitian terhadap “hubungan yang bersifat 'triadic' (tiga hala)”, ataupun 'the associative total' dalam hubungan antara penanda, petanda dan makna. Dengan andaian tersebut, beliau menganggap bahawa pencarian makna bagi sesuatu tanda tidak memerlukan rujukan di luar daripada hubungan tiga hala yang sedia diperhatikan.
Tanggapan ini selaras dengan andaian yang agak terdahulu, yang menganggap bahawa sesebuah teks itu mempunyai autonomi dan wujudnya terpisah daripada penciptanya (pengarah atau bomoh). Tanggapan ini diperkuatkan pula oleh suatu aspek daripada kaedah semiotik yang menganggap khalayak atau pembaca, dalam situasi kekiniannya berhadapan dengan teks, mempunyai segala autoriti dan hak untuk menentukan makna bagi segala tanda yang ditonton atau dibacanya. Justeru, andaian-andaian yang disebutkan di atas dengan sendirinya (a) menafikan rujukan kepada kerangka rujukan di luar teks yang sedang dikaji secara kekinian. (b) Secara tidak langsung menafikan juga bahawa penghasilan sesuatu teks itu melibatkan dimensi-dimensi historikal yang terjalin melalui diri dan pengalaman pencipta (pengarah atau bomoh) teks. (c) Maka, secara tidak langsung juga, menolak peri pentingnya multiplicity of meanings (kepelbagaian makna) yang tersimpan dalam collective consciousness (kesedaran kolektif) masyarakat berkenaan.
Namun begitu, dalam Kuda Kepang Mabuk yang akan dirujuk sebagai KKM sahaja dalam huraian berikutnya, rujukan terhadap tanda dilakukan dengan turut meninjau hal-hal yang di luar daripada hubungan tiga hala. Justeru, kajian bidang metafizik memainkan peranan penting dalam membantu kajian semiologi. Terutamanya, untuk memahami dan menafsir makna daripada tanda-tanda yang terdapat dalam kod-kod persembahan yang digunakan. Kod-kod yang digunakan dalam persembahan tersebut adalah berbentuk simbolik. Ia mempunyai falsafah tersendiri yang merujuk kepada fahaman falsafah tradisional. Iaitu kepercayaan terhadap peranan alam ghaib dalam mempengaruhi kehidupan masyarakat pelakunya. Oleh sebab itu, sekiranya kajian semiologi digunakan untuk menganalisis persembahan ini, maka aspek metafizik, kosmologi dan ontologi harus dikaji bagi menafsirkan maknanya secara kognitif.
Seperkara lagi, adakah benar bahawa alam ghaib sangat berperanan dalam mempengaruhi penanggapan 'source' (sumber), 'transmitter' , 'signifier' (penanda), 'audience' (khalayak) dan 'signified' (petanda) dalam KKM? Hal ini timbul kerana, melalui temubual yang dilakukan, informan menjelaskan bahawa perkara-perkara pelik yang berlaku sewaktu persembahan dipengaruhi oleh makhluk ghaib (makhluk halus ). Pandangan yang dikemukakan tersebut bersesuaian dengan fahaman agama dan pandangan dunia orang Jawa yang berpegang kepada prinsip sangkan paraning dumadi iaitu “dari mana manusia berasal, apa dan siapa mereka pada masa kini dan ke mana manusia akan pergi”.
Dalam teori semiotik Barat yang digunakan bagi menganalisis 'performance theater' alam ghaib tersebut tidak wujud. Hal ini kerana, dalam performance theater yang lazim diamalkan di Barat, pengarah (sumber) menciptakan kod melalui imaginasinya. Walau bagaimanapun, dalam hal KKM, sumber (bomoh) tidak menggunakan imaginasinya semata-mata dalam mencipta, menyedia, memilih dan menyusun kod. Sebaliknya kod yang disediakan adalah atas kehendak atau tertakluk kepada alam ghaib. Hal ini dapat dijelaskan seperti berikut; iaitu sekiranya kod (sebagai contoh sajen) yang disediakan tidak menepati kehendak alam ghaib, maka fenomena mabuk (trance) dalam KKM tidak akan berlaku atau dikatakan gagal kerana tidak cukup syarat. Sedangkan elemen mabuk (trance) tersebut merupakan elemen yang sangat penting bagi mencirikan persembahan tersebut ialah KKM. Sehubungan dengan itu, beberapa working definition turut dikemukakan dalam kajian ini iaitu “Semiotik Metafizik”, “Kod Bersyarat”, “Kod Separuh Bersyarat”, “Kod Bebas”, “Kod Komunikasi Mistikal”, “Kod Istiadat” dan “Kod Kebatinan”, yang penjelasannya dihuraikan dalam bab-bab berikutnya. Jadi, objektif kajian ini ialah, pertamanya, untuk mengkaji makna persembahan KKM dengan menggunakan teori semiotik. Kedua, meninjau peranan alam ghaib dalam mempengerahui fenomena trance dalam persembahan KKM. Ketiga, untuk melihat bagaimana kod teatrikal persembahan sebagai medium komunikasi berperanan dalam perhubungan di antara alam fizikal dan alam metafizik.
Usaha yang dilakukan ini adalah untuk mencari makna persembahan KKM yang turut berhubungan dengan fenomena mabuk (trance). Sehubungan dengan itu, fokus turut dilakukan terhadap elemen alam ghaib (metafizik) yang mempengaruhi sumber, transmitter, penanda, khalayak dan petanda dalam persembahan KKM. Kajian ini melihat agama dan elemen kesucian yang mempercayai kewujudan alam ghaib dari perspektif yang universal. Rujukan tidak dihadkan kepada satu kepercayaan agama sahaja sebaliknya adalah pelbagai. Hal ini kerana, dalam analisis kajian kepelbagaian pengaruh kepercayaan daripada fahaman keagamaan yang berbeza turut ditinjau kerana fenomena tersebut turut mempengaruhi kewujudan bentuk persembahan KKM.
Selain daripada itu, tulisan ini juga turut melihat hubungan komunikasi di antara alam metafizik dengan alam fizikal melalui transmitter , penanda dan petanda yang terdapat dalam persembahan KKM. Theatre Sign System (Sistem Tanda Teater) dan Theatre Communication System (Sistem Komunikasi Teater) akan diaplikasikan sebagai alat penganalisisan kod-kod. Di samping itu, empat tahap makna (petanda) yang akan dikaji mengikut kaedah semiotik iaitu i) 'Cognitive meaning' (kognitif) ii) 'Emotional Meaning' (emosi) iii) 'Esthetic Meaning' (estetik) iv) 'Spiritual awareness meaning' (kesedaran kerohanian). Sementara makna-makna tersebut akan diperolehi melalui kajian terhadap dua jenis khalayak iaitu 'heterogeneous audience' dan 'homogenous audience' .
Kajian ini bertujuan untuk membuktikan bahawa elemen alam ghaib sangat berperanan dalam mempengaruhi penanggapan sumber, transmitter, penanda, khalayak dan petanda (terutamanya makna kognitif). Justeru, hal yang cuba dibuktikan di sini ialah, metafizik merupakan elemen yang tertinggal dalam teori semiotik Barat yang digunakan untuk mengkaji 'performance theatre' yang tidak melibatkan unsur supernatural. Hal ini kerana, mabuk dalam persembahan KKM adalah bersifat mistikal keagamaan. Elemen mabuk (trance) merupakan tanda pencapaian ke arah satu tahap kewujudan – rupa bentuk fizikal – perpindahan spiritual (level of existence – physical configuration – spiritual elevation).
*Buku ini sedang berada dalam pasaran dan boleh didapati di Kedai Koperasi USM dan kedai MPH terpilih di seluruh negara.
Sunday, March 15, 2009
PRODUKSI TEATER
Pusat Seni Universiti Sains Malaysia mempersembahkan 6 produksi teater yang dihasilkan oleh para pelajar tahun akhir untuk dinilai sebagai memenuhi syarat pengijazahan bagi yang membuat major Bfa Seni Halus (Lakonan & Pengarahan). Jadualnya adalah seperti berikut:
LAUT LEBIH INDAH DARI BULAN
15 DAN 16 MAC
PALENGGANG CAHAYA USM
HAMLET
17 DAN18 MAC
PANGGUNG SASARAN USM
NYONYA
19 DAN 20 MAC
PALENGGANG CAHAYA USM
NO EXIT
22 DAN 23 MAC
PANGGUNG SASARAN USM
SHAKUNTALA
24 DAN 25 MAC
PALENGGANG CAHAYA USM
SI BONGKOK TANJUNG PUTERI
28 DAN 29 MAC
PALENGGANG CAHAYA
#Semua persembahan bermula pada pukul 8.30 malam dan tiket berharga RM 5.oo seorang. Selamat menonton....
LAUT LEBIH INDAH DARI BULAN
15 DAN 16 MAC
PALENGGANG CAHAYA USM
HAMLET
17 DAN18 MAC
PANGGUNG SASARAN USM
NYONYA
19 DAN 20 MAC
PALENGGANG CAHAYA USM
NO EXIT
22 DAN 23 MAC
PANGGUNG SASARAN USM
SHAKUNTALA
24 DAN 25 MAC
PALENGGANG CAHAYA USM
SI BONGKOK TANJUNG PUTERI
28 DAN 29 MAC
PALENGGANG CAHAYA
#Semua persembahan bermula pada pukul 8.30 malam dan tiket berharga RM 5.oo seorang. Selamat menonton....
Subscribe to:
Posts (Atom)